PUTRAJAYA, 5 Jun 24 – Rancangan Israel untuk menguasai keseluruhan Palestin tidak akan berjaya sebaliknya, genosid ke atas rakyat Palestin yang berterusan ini akan melahirkan lebih ramai penentang dari satu generasi ke satu generasi seterusnya, demikian catatan Tun Dr Mahathir Mohamad menulis dalam entri terbarunya di laman X, hari ini.
Mantan perdana menteri itu berkata, tiap seorang dari penduduk di Gaza yang masih hidup sudah kehilangan ahli keluarga mereka, waris mereka ini tidak akan lupa dan ia akan diwarisi dari generasi ke satu generasi.
“Mereka tidak akan lupa akan apa yang dilakukan oleh Israel. Selagi ada nyawa dibadan mereka akan musuhi orang Yahudi. Perasaan ini akan diteruskan melalui generasi-generasi yang menyusul.
“Mereka (Israel) tidak akan berjaya. Sampai bila pun orang Palestin akan ada. Dan mereka akan serang Israel dan orang Israel. Ujarnya.
Mahathir berkata, niat jahat Israel tidak akan berjalan sepanjang zaman sebaliknya dunia akan memandang orang Yahudi dan Israel sebagai manusia bersifat binantang.
“Niat jahat Israel tidak akan berjaya sepanjang zaman. Yang akan berjaya ialah nama buruk orang Yahudi dan Israel di seluruh dunia akan berkekalan.
“Dunia akan pandang orang Yahudi dan Israel sebagai manusia yang bersifat binatang, yang tidak bertamadun, yang perlu dimusuhi sepanjang zaman. Katanya.
Perkembangan terbaru berkaitan perang Israel Palestin memasuki fasa baharu apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada 31 Mei lepas telah membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan oleh Israel kepada wakil Palestin, Hamas yang menurutnya akan menamatkan permusuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di enklaf pantai itu.
Perkembangan tersebut menyatakan bahawa Hamas berkata ia akan “memberi respons positif kepada sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan penuh dari Semenanjung Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan orang yang dipindahkan, dan penyelesaian pertukaran tawanan yang menyeluruh”.
Sehingga kini jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 35,984 orang, kata pihak berkuasa kesihatan di wilayah Palestin.
Lebih 25,000 wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober, menurut Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin. – malayadaily.com