JOHOR BAHRU, 21 Mac 2023 – Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat terus menurun kepada 7,972 orang setakat malam tadi, berbanding 8,650 yang direkodkan pada petang semalam susulan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS yang ditutup adalah Sekolah Agama Kangkar Merlimau, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam dan Felcra Sri Wangi.
Penutupan PPS ini menjadikan baki keseluruhan 44 PPS yang menempatkan 2,299 keluarga masih beroperasi setakat ini.
Sebanyak tiga sungai di Batu Pahat masih berada pada tahap amaran iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok (19.12m), Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (11.27m) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.28m).
Cuaca di lapan daerah diramalkan mendung manakala di Johor Bahru hujan dan cuaca baik di daerah Klaung. – sumber BERNAMA