TERKINI

Mansuh Skim Pencen: Kerajaan perlu pastikan sistem baharu, bela kebajikan penjawat awam – Dr Marzuki Mohamad

Marzuki Mohamad – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Feb 2024 – Mantan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad menegaskan bahawa skim pencen kakitangan awam yang akan digantikan oleh kerajaan dengan sistem baharu, harus memastikan kebajikan kakitangan awam terus terbela kerana pandapatan mereka lebih kecil berbanding sektor swasta.

Marzuki juga berkata bahawa sistem pencen selama ini berupaya menarik minat mereka yang berkualiti untuk bekerja di sektor awam.

“Sekarang ni yang saya diberitahu, guru-guru ni antara profesion pilihan graduan-graduan yang mendapat kelulusan yang cemerlang, misalnya di peringkat lepasan SPM STPM.

“Mereka berminat nak ambil kursus pendidikan kerana pakej gaji dan juga pencen yang bagi mereka menarik.

“Jadi dalam sektor pendidikan kita dapat guru-guru yang berkualitilah kerana yang nak menyertai sistem perkhidmatan kerajaan ini pelajar-pelajar yang lulus dengan cemerlang. Ujarnya.

Namun, beliau menimbulkan persoalan adakah selepas ini adakah pelajar-pelajar yang lulus dengan cemerlang akan menjadikan perkhidmatan kerajaan ini sebagai satu profesion pilihan mereka.

“Tanpa sistem pencen ni adakah mereka berminat untuk menyertai perkhidmatan kerajaan dan adakah kerajaan akan mendapat kakitangan yang berkualiti untuk masuk berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan?

“Doktor misalnya ataupun Nurses ataupun polis, ini servis yang penting, saya ingat sebahagian besar kakitangan kerajaan ni terdiri daripadanya perkhidmatan guru, kesihatan dan juga keselamatan. Ujarnya.

Marzuki menambah bahawa kerajaan mesti memikirkan alternatif lain bagi memastikan sektor kerajaan kekal menarik.

“Sistem yang baru ini mestilah (dapat) mengurangkan bebanan fiskal kerajaan dan pada masa yang sama dia tidaklah menjejaskan kebajikan kakitangan awam.

“Tak dapat tidak, tak boleh elak maknanya kena beralih daripada sistem pencen kepada satu sistem yang lain macam sistem simpanan persaraan seperti EPF, tetapi adakah sistem EPF itu cukup menarik?

Menurut Marzuki, adakah sistem EPF (KWSP) ketika ini cukup sesuai menggantikan sistem pencen di mana keperluan undang-undang menetapkan 11 peratus sumbangan pekerja dan 12 peratus sumbangan dari majikan.

“Seperti mana yang ada pada hari ni, majikan menyumbang sekitar 12 peratus, ini statutory requirementlah, minimum majikan mesti sumbang 12 peratus dan pekerja sumbang 11 peratus daripada gaji bulanan.

“Adakah 12 peratus itu memadai? Adakah 12 peratus itu menarik?

“Mengambil kira gaji penjawat awam ini tidak setinggi dalam sektor swasta dan adakah dengan simpanan bulanan 12 peratus bagi penjawat awam sumbangan kerajaan dan 11% sumbangan mereka sendiri, di mana take home income dia dah berkurang dan gaji dia rendah kepada swasta.

“Adakah kerajaan nak menaikkan gaji ataupun kerajaan nak menambah sumbangan kerajaan melebihi minimum statutory requirement (keperluan undang-undang), misalnya daripada 12 peratus, adakah kerajaan nak bayar 20 peratus misalnya. Ujarnya

“Di UK, saya lihat kerajaan untuk civil servant, dia pun menggunakan sistem simpanan persaraan ini, ada contribution daripada kerajaan sampai 20 ke 30 peratus sumbangan kerajaan (UK).

“Kalau 12 peratus macam tak berapa menariklah.

“Kalau selepas ini nak dibuat satu plan yang komprehensif, mungkin kerajaan bayar kali ganda daripada 12 peratus, katalah kerajaan bayar 24 peratus, adalah menarik sikit.

“Maknanya kalau begitu simpanan pekerja dan simpanan majikan campur dua-dua tu, kalau 24 campur 11, 35 peratsu, katalah 35% daripada gaji tiap-tiap bulan masuk dalam EPF, dia kerja sampai 30 tahun misalnya, at least bila dia bersara nanti dalam simpanan dia di dalam EPF itu, agak orang kata substantial, maka bolehlah dia gunakan wang itu untuk tujuan persaraan dia.

Marzuki yang juga seorang pensyarah berkata, kakitangan awam ni seperti khidmat negara kerana jika dibandingkan dengan sektor swasta, lebih baik mereka bekerja dalam sektor swasta yang boleh menawarkan pendapatan yang lebih lumayan.

Perkara kedua yang dibangkitkan adakah kerajaan memikirkan tentang kakitangan sokongan di mana gaji mereka tak tak begitu tinggi sekalipun mencarum dalam EPF.

“Jadi bila mereka bersara nanti mungkin duit di dalam EPF tu pun tak cukup untuk mereka menampung kehidupan selepas itu.

“Tidakkah kerajaan memikirkan alternatively, mungkin untuk sebahagian kakitangan kerajaan yang kakitangan sokongan ini, buat sementara waktu ini kita teruskan dahulu sistem pencen untuk mereka.

“Jadi ada berapa kaedahlah yang kerajaan kena fikirkan dan disesuaikan dengan kemampuan kewangan kerajaan. Ujarnya.

Baru-baru ini, kerajaan menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Menurut Ahmad Zahid, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp