TERKINI

Manusia Mula Lupakan Nilai Agama, kata Tun Dr Mahathir

Dr Mahathir di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sarajevo – foto twitter Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR, 26 jUN 2023 – Nilai-nilai keagamaan semakin dilupakan dan tidak bergerak seiringan dengan usaha menuntut bidang ilmu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu katanya mengakibatkan nilai moral manusia terjejas khususnya melibatkan penganut Kristian di negara-negara maju.

“Tekanan diberikan hanya kepada untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Manusia tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada agama. Apa yang kita lihat adalah keruntuhan nilai kepercayaan kepada agama sehingga menyebabkan nilai moral terjejas.

“Walaupun ia tidak menjejaskan umat Islam kebanyakannya, tetapi bagi penganut Kristian kita dapat lihat berlakunya penolakan kepada nilai Kristian,” kata Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di satu program di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sarajevo, Bosnia Herzegovina, baru-baru ini.

Beliau mengambil contoh bagaimana amalan berkeluarga dan berumah tangga di Barat tidak lagi dilihat sebagai satu institusi sebaliknya walaupun tanpa sebarang ikatan mereka boleh duduk dan tinggal serumah.

Mereka boleh berubah sesuka hati tanpa perceraian rasmi, tanpa sebarang keabsahan perhubungan. Itulah sikap mereka mengenai perkahwinan, katanya.

Lebih memburukkan keadaan, kata Mahathir, perkahwinan sesama jenis juga menjadi kebiasaan.

“Jika ini berterusan populasi akan menurun kerana lelaki tidak boleh melahirkan anak dan perempuan memerlukan lelaki untuk mendapat anak.

“Sekiranya budaya ini berlarutan di Barat bilangan populasi mereka akan menurun dan kadar kelahiran menurun sehingga pada kadar 1% seperti yang berlaku di Sweden,” kata Mahathir.

Tambahnya, gejala itu juga mengakibatkan penurunan bilangan kelahiran lebih rendah berbanding jumlah kematian rakyat di dalam negara.

“Jika itu berterusan, jumlah populasi akan terus menurun,” katanya.

Sedangkan amalan sepatutnya, kata Mahathir adalah pendidikan dan agama akan mencorak pemikiran manusia.

“Kita menganuti pelbagai agama dan sudah pasti, kita mendapat pendidikan bagi membolehkan untuk manusia menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia.

“Melalui pendidikan khususnya dalam bidang Sains banyak yang dapat dicapai, sepanjang masa banyak kajian-kajian yang dilakukan bagi mencari kaedah terbaik untuk satu-satu permasalah menjadikan penyebaran ilmu membuatkan dunia lebih progresif dan mampu menyelesaikan masalah di dalam dunia,” katanya.

Beliau juga mengharapkan umat Islam tidak berpegang kepada amalan tersebut kerana sudah pasti mereka akan pupus.

“Kita diciptakan untuk menambah bilangan bangsa manusia. Sebab itu dijadikan lelaki dan perempuan. Tuhan menjadikan lelaki dan perempuan supaya boleh membiak, dan menambah populasi manusia.

“Jika mereka tidak mendirikan rumah tangga dan tinggal berjauhan, ada perkahwinan sejenis antara lelaki dan lelaki dan wanita dengan wanita, proses pembiakan itu akan hilang dan bilangan kelahiran merosot berbanding bilangan orang mati,” katanya.

Jika itu berlaku manusia katanya tidak lagi akan berkembang biak. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp