TERKINI

Misteri perbicaraan kes Yayasan Akal Budi

Rafique Rashid – Foto fmt

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2023 – Perbicaraan kes Yayasan Akal Budi, yang melibatkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin diselubungi misteri apabila Timbalan Pendakwaraya, Datuk Raja Rozela Raja Toran digugurkan.

Kes yang berada ditahap pembelaan itu turut menyaksikan Raja Rozela berjaya mengemudi perbicaraan dengan baik sehingga Ahmad Zahid dipanggil membela diri dan memberikan keterangan.

Perbicaraan berada di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 Nov 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi.

“Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan.

“Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?,” kata peguam, Rafique Rashid, dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Penerangan Pejuang itu berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan isu itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan.

Antara spekulasi yang timbul katanya adalah Ahmad Zahid tetap dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai anggota Jemaah Menteri, walaupun berhadapan kes mahkamah merupakan pimpinan parti membentuk kerajaan perpaduan.

“Kes Yayasan Akal Budi kini berada di tahap pembelaan, tertuduh sendiri telahpun memberi keterangan.

“Namun fakta bahawa beliau kini berada dalam posisi sebagai timbalan perdana menteri dan Presiden Umno, Pengerusi Barisan Nasional yang menyumbang 30 Ahli Parlimen sokongan kepada kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri memungkinkan pelbagai spekulasi,” kata Rafique, dalam kenyataannya.

Malah katanya, beberapa insiden sepanjang proses perbicaraan juga katanya mencetuskan persoalan.

“Kemudiannya ada juga surat representasi sepanjang 200 mukasurat seperti laporan akhbar yang dikatakan diutus kepada Peguam Negara oleh peguambela Zahid dan keperluan masa untuk pihak Jabatan Peguam Negara meneliti representasi tersebut sebelum keputusan dibuat samada pertuduhan diteruskan atau sebaliknya.

“Pemulangan paspot antarabangsa Zahid walaupun sedang menghadapi 47 pertuduhan sedangkan kes belum selesai berlainan dari kebiasaannya terhadap tertuduh-tertuduh lain juga menimbulkan rasa pelik pada pelbagai pihak,” katanya.

Sehubungan itu, Tan Sri Idrus Harun selaku peguam negara tegasnya perlu memberikan penjelasan.

“Kuasa untuk mendakwa, memberhentikan, menangguhkan serta memulakan kembali mana-mana pertuduhan jenayah terhadap sesiapa sahaja di Malaysia ini ada di tangan Peguam Negara.

“Ini undang-undang mantap ( trite law). Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan juga jelas. Ini tidak dinafikan. Peguam Negara tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh. Penjelasan wajib diberikan,” katanya.

“Pelbagai isu sebelum ini yang terkait dengan kes Yayasan Akal Budi dan 47 pertuduhan kini semakin diselubungi misteri dan menimbulkan tanda tanya.” – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp