TERKINI

Muhyiddin Beri Bayangan Mahu Terus Kekal Presiden Bersatu

KUALA LUMPUR — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih menerajui kepimpinan parti itu, sempena sambutan Tahun Baru 2026, sambil menyeru ahli Bersatu memperkukuh perpaduan dan menutup segala ruang perpecahan.

Dalam pesanan yang disampaikan hari ini, Muhyiddin menegaskan walaupun beliau tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN), Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam gabungan itu, dan kerjasama tersebut akan terus dipelihara demi kestabilan dan kekuatan PN.

“Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti. Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Muhyiddin turut menekankan kepentingan disiplin dan budaya saling menghormati dalam kalangan ahli Bersatu, selain menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.

Kenyataan ini dilihat sebagai bayangan jelas bahawa beliau berhasrat kekal memimpin Bersatu, sambil menegaskan visi jangka panjang untuk memantapkan parti menghadapi cabaran politik masa depan.

Beliau menyeru seluruh ahli Bersatu kekal istiqamah, memperkukuh kerjasama dan memperteguh perpaduan bagi memastikan parti terus kuat dan berdaya saing dalam arena politik tanah air. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp