TERKINI

Muhyiddin Berjiwa Besar, Jasa Kepada Negara Tetap Dikenang, Afnan Hamimi

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menzahirkan penghargaan dan rasa hormat yang tinggi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan keputusan beliau untuk berundur sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menyifatkan langkah itu sebagai satu tindakan berjiwa besar yang wajar dihormati.

Dalam satu kenyataan, Afnan berkata jasa dan khidmat bakti Muhyiddin sepanjang memimpin PN serta negara, khususnya ketika berdepan krisis pandemik Covid-19, tidak boleh dinafikan dan akan terus dikenang oleh rakyat.

“Tan Sri telah menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19 dan memulihkan semula keadaan sehingga kita kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala hari ini. Itu jasa yang amat besar dan sejarah itu tidak boleh diubah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pandangan atau ketegasan yang pernah disuarakan sebelum ini tidak pernah mengurangkan rasa hormat dan sanjungan terhadap Muhyiddin, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin lebih berusia, berpengalaman dan dihormati.

Afnan dalam masa sama memohon maaf sekiranya terdapat kata-kata atau pendirian beliau sebelum ini yang menyinggung perasaan Muhyiddin, sambil menegaskan bahawa ia bukan bersifat peribadi, sebaliknya demi kebaikan bersama dalam sebuah perjuangan.

Menggunakan perumpamaan kapal dan nakhoda, beliau menekankan bahawa Perikatan Nasional mesti terus mara ke hadapan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan.

“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai sehingga sampai ke destinasi,” ujarnya.

Mewakili seluruh jentera Pemuda Perikatan Nasional dan Pemuda PAS, Afnan sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin, sambil menegaskan bahawa jasa beliau akan dikenang sehingga akhir hayat. –malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp