TERKINI

Nahas Elmina : Kotak Perakam Suara Kokpit Sedang Dianalisis Pakar Singapura

Tapak terhempasnya Pesawat Beechraft 390 – Foto Kosmo Digital

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2023 – Kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16 Khamis lalu, telah dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura pada Ahad untuk dianalisis bagi mendapatkan rakaman 30 minit terakhir sebelum terhempas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kotak perakam suara kokpit (CVR) hangus terbakar.

“Pakar mereka datang ke Malaysia pada Jumaat lalu untuk menawarkan bantuan dan keesokannya CRV telah berjaya dibuka serta mengeluarkan komponen ‘memory puck’,” katanya kepada pemberita, pada Isnin.

Menurutnya, Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Brigedier Jeneral Tan Chee Kee turut berada di sana bagi tujuan tersebut.

“BSKU menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rakaman tersebut kerana CVR yang mengandungi “memory puck” berada dalam keadaan tidak sempurna,” ujar beliau.

Anthony berkata, pihaknya tidak dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk mendapatkan data tersebut.

Ia berikutan beberapa masalah teknikal yang sedang diatasi oleh pakar.

Anthony berkata, satu laporan awal siasatan akan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi sebulan.

“Ia akan dibantu oleh beberapa pihak termasuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat (NTSB) kerana pendaftaran pesawat berkenaan dilakukan di AS.

“Jadi mengikut Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), pengeluar pesawat itu perlu terbabit dalam membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak memberi sedikit masa kepada pakar-pakar berkenaan untuk mendapatkan data tersebut.

“Pakar-pakar kita juga sedang melihat beberapa pilihan lain untuk mendapatkannya,” tambah Anthony.

Pada Khamis, pesawat persendirian yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah terhempas selepas mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.48 petang.

Nahas pesawat malang itu telah mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp