TERKINI

Nahas Elmina : Waris Mangsa Terima Sumbangan Peribadi Agong

Zahari (kiri) – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2023 – Waris mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, telah menerima sumbangan peribadi daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara pada Ahad, sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang pada Ahad.

Dalam kunjungan itu, Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga atas pemergian mengejut insan tersayang ke Rahmatullah.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

Dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu maut, antaranya ialah Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian.

Pesawat itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp