TERKINI

Negara Ini Bertuan – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong

Dr Teo Kok Seong – foto mykmu.net

KUALA LUMPUR, 7 April 2023 – Masyarakat Melayu Islam tidak pernah mengganggu mana-mana agama dan kepercayaan yang pelbagai di negara ini, malah mereka memahami serta meraikan kelompok minoriti lain di Malaysia.

Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata kaum Melayu cukup menjaga sensitiviti semua kaum, namun segelintir kelompok minoriti tidak faham bahawa negara ini ‘bertuan’.

“Walaupun meraikan kepelbagaian, kita harus ingat negara ini bertuan.. negara ini ada tuan.. maknanya ini negara Melayu Islam.

“Kita harus mengambil kira kelompok Melayu Islam itu sebagai kelompok asalnya, majoriti dan dominan.

“Orang Melayu maknanya selalu memberi perhatian kepada hal kepelbagaian ini. Kita tak pernah melihat pun orang Melayu mengacau kepercayaan orang lain dan sebagainya,” katanya seperti dilaporkan The Merdeka Times kelmarin.

Ilmuan terkenal negara itu juga menasihati kaum minoriti lain agar tidak menuntut hak bahasa ibunda mereka di Malaysia.

“Kalau mereka fasih dalam bahasa ibunda dan tak fasih dalam bahasa negara, apa erti kepelbagaian itu.. Saya kira kepelbagaian ini harus dilihat semula, kira banyak tersasarlah.

“Secara peribadi, saya amat terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri yang semacam mengecam kelompok majoriti negara ini, yang sesungguhnya menerima kelompok minoriti dengan seadanya,” katanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agar masyarakat Melayu Islam di Malaysia diingatkan tidak terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.

Menurutnya, prinsip saling menghormati dan meraikan serta memberikan hak kewarganegaraan kepada semua harus dititikberatkan dalam usaha memastikan kepentingan majoriti Melayu Muslim di Malaysia dijaga.

Beliau turut mengambil perbandingan dengan negara Kemboja yang majoriti penganut Buddha dapat meraikan dan memberikan penghormatan kepada golongan minoriti 10 peratus umat Islam di sana. –  sumber The Merdeka Times

Facebook
Twitter
WhatsApp