TERKINI

Nelayan Tetap Bantah Projek PSI, Kawasan Subur Tangkapan Ikan

Zakaria Ismail – foto malayadaily.com

BALIK PULAU, 26 Jun 2023 – Nelayan di kawasan terlibat pembangunan pulau buatan di Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) tetap membantah ia diteruskan berikutan kawasan terjejas adalah subur dengan hasil tangkapan.

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Balik Pulau Zakaria Ismail, berkata, tangkapan nelayan di kawasan itu bukan sahaja untuk kawasan Pulau Pinang tetapi juga negeri berhampiran seperti Kedah dan Perak.

“Kami unit nelayan Sungai Batu bersama dengan Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan dan juga Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang membantah sekeras-kerasnya projek ini sebabnya ini adalah kawasan yang menghasilkan tangkapan memberangsangkan

“Persatuan Pulau Pinang Selatan sendiri telah menghasilkan pendapatan RM6 juta setahun dengan beratnya melebihi 500 tan. Itu hanyalah yang dijual kepada unit-unit nelayan di persatuan nelayan Pulau Pinang Selatan.

“Disamping itu, nelayan Kedah Selatan dan Perak Utara turut membawa hasil balik ke tempat pangkalan masing-masing jadi hasilnya tentulah bertambah bukan RM6 juta,” katanya, baru-baru ini.

Katanya lagi, kawasan itu adalah satu-satunya lokasi tangkapan ikan yang baik untuk nelayan mendapatkan hasil.

Sekaligus jika projek itu diteruskan sebagai mana dirancang, beliau khuatir sumber ikan penduduk Pulau Pinang akan terjejas.

“Hanya di kawasan ini sahaja nelayan Pulau Pinang boleh mendapatkan hasil. Ini kawasan yang subur untuk ikan-ikan, macam kita manusia bila kita boleh bercucuk tanam menghasilkan tanaman yang baik

“Kalau kata projek ini menjadi kenyataan nelayan Pulau Pinang dan penduduk Kedah Perak akan kehilangan satu sumber protein dalam masa terdekat yang mana kita akan menghadapi krisis makanan.

“Itu yang kita nak beritahu kepada rakyat semua kenapa nelayan membantah. Nelayan akan jadi individu pertama yang terkesan kemudian orang awam, orang yang nak buat pembangunan itu pun akan terjejas, tiada orang yang tidak mahu makan ikan,” katanya lagi.

Zakaria berkata, kawasan tangkapan ikan amat penting buat nelayan walaupun kerajaan memberikan ex gratis kepada nelayan terjejas.

“Kami nak tempat kawasan menangkap ikan, peralatan kami boleh beli. Mereka kecilkan kawasan ini daripada tiga buah pulau kepada satu pulau.

“Satu pulau pun telah mencemarkan kawasan ini. Nelayan akan menghadapi masalah bukan berkurang tangkapan sebenanrnya zero,” katanya.

Projek yang dikenali sebagai PSR pada awalnya itu berkeluasan hampir 17 kilometer persegi ialah projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, dengan pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) juga sebelum ini tetap dengan pendirian mereka membantah projek mega tambakan laut yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan komuniti nelayan dan merosakkan alam sekitar.

Pada Mei lalu, kerajaan Pulau Pinang bagaimanapun mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

Menurutnya, pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp