TERKINI

NGO Gabung Pertahan Istana desak Anwar perjelaskan isu sogok YDPA

Syed Hasan Syed Ali (tengah) – foto Youtube

KUALA LUMPUR, 13 Jan 2024 – Gabungan NGO Pertahan Istana mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelaskan sama ada benar atau tidak beliau ada menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sejumlah wang ‘derma’ seandainya diterima daripada pihak tertentu.

Wakil Gabungan NGO itu, Syed Hasan Syed Ali menegaskan, jika ayat itu tidak diucapkan Anwar di depan Tuanku, sebaliknya hanya menambah dalam posting di akaun Facebooknya, ia adalah satu fitnah yang besar dan cubaan menghina institusi Raja-Raja Melayu.

“Kami nak tanya, benar atau tidak PMX ada menyebut ayat berkaitan angka atau jumlah wang itu kepada Yang di-Pertuan Agong ketika dia mengadap Tuanku pada 9 Januari lalu? Atau dia hanya menambah ayat berkenaan dalam posting Facebooknya?

“Ini yang jadi pertanyaan, apakah perlu beliau menyebut perkara ini di depan Tuanku, yang kami rasa tidak ada kena mengena dengan jumlah (derma) berkenaan.

“Kami tidak faham apa tujuan Anwar nyatakan perkara ini dalam Facebooknya. Kalau ayat berkenaan sengaja ditambah, ini adalah cubaan menyindir pihak tertentu untuk menyogok YDPA,” katanya pada sidang media pertahan Istana, di sini, semalam.

Anwar dalam kenyataan media 9 Januari 2024 yang dimuatnaik menerusi Facebooknya menyatakan beliau ‘memaklumkan’ kepada Tuanku seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Berikutan kenyataan itu, pegawai Pejabat Setiausaha Agung Bersatu telah membuat satu laporan polis berkaitan tuduhan kononnya Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin terbabit dengan merasuah YDPA.

“Selepas itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan penafian yang merujuk status Anwar dalam akaun Facebooknya.

“Ini yang kami persoalkan. Macam mana Anwar boleh sebut jumlah RM500 juta dan RM750 juta. Atau beliau mahu mengingatkan Tuanku agar jangan terima sogokan itu untuk tujuan tertentu?

“Ini yang menjadi polemik sehingga laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanan PMX, Shamsul Iskandar kononnya ada cubaan membeli Ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Harapan termasuk tuduhan PN hendak menyogok Tuanku,” tegas beliau.

Beliau meminta polis menjalankan siasatan secara menyeluruh tuduhan itu dan kenapa boleh menjadi punca YDPA disogok. Tuduhan Anwar ini telah membangkitkan kemarahan rakyat kerana membabitkan batang tubuh Tuanku.

Pihaknya juga pada masa sama, mengharap ada kenyataan dari pihak Istana Negara memaklumkan ada atau tidak ayat RM500 juta dan RM750 juta yang diucapkan Anwar di depan Tuanku.

Syed Hasan menjelaskan, setakat ini, selepas Shamsul Iskandar membuat laporan polis, Ketua Polis Negara serta merta mengeluarkan kenyataan pihaknya akan menyiasat dakwaan itu.

“Tetapi, belum ada kenyataan dari IGP selepas pegawai SUA Bersatu membuat laporan polis,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp