TERKINI

Nisbah akhbar Melayu dan Cina di Malaysia, tak seimbang – Prof Ahmad Murad

KUALA LUMPUR, 30 Dis 2023 – Profesor sejarah sosial, Prof. Dato’ Dr Ahmad Murad Merican menyifatkan nisbah kewujudan surat khabar Melayu di Malaysia, tidak seimbang dengan akhbar Cina berbanding dengan nisbah mereka yang bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Menurut Murad, walaupun mereka yang bertutur dalam bahasa Cina ini kurang berbanding mereka yang bertutur dan boleh membaca dalam bahasa kebangsaan, akhbar Cina lebih banyak dan lebih tinggi jumlah edarannya.

“Apabila kita lihat surat khabar Melayu di Malaysia ni, ada 5 saja tapi surat khabar Cina ada lebih kurang 9 ataupun 10.

“Kalau kita bandingkan dengan misalnya mereka yang bertutur bahasa Melayu di Malaysia, sepatutnya 100%, katalah kita ambil 90% penduduk di Malaysia boleh bercakap dan boleh membaca dalam bahasa Melayu, tetapi mereka yang membaca surat khabar Cina yang boleh membaca Cina hanya lebih kurang 20% tetapi jumlah surat khabar Cina tu lebih daripada jumlah surat khabar Melayu.

Murad juga memberitahu terdapat 2 edisi dalam 1 hari bagi akhbar berbahasa Cina, malah pengedaran surat khabar Cina itu jauh lebih besar jumlahnya.

“Sekarang ni lebih kurang 400 ribu satu hari berbanding dengan dengan surat khabar Melayu mungkin 80 ribu ataupun kurang ataupun ada yang 50 ribu satu hari.

“Jadi ini ada anomali (keluarbiasaan) dari segi, apa masalahnya dengan surat khabar dan kewartawanan Melayu?, soal beliau dalam satu wawancara segmen ‘Orasi Orang Kita (OOK) : Dilema wartawan dan kewartawanan Melayu’ oleh malayadaily.

Dalam episod pertama tersebut, Murad juga menegaskan bahawa media sosial bukanlah pesaing kepada suratkhabar sebaliknya ia menjadi wahana untuk menggalakkan lagi bidang kewartawanan.

“Apakah media sosial memberi persaingan?

“Sebenarnya media sosial bukan satu persaingan, media sosial merupakan satu institusi yang untuk menggalakkan lagi kewartawanan, apabila kita tanya dan apabila kita dengar masalah kewartawan Melayu mengapa Utusan ditutup, dikatakan bahawa kita tidak boleh bersaing dengan media sosial.

“Pada saya kumpulan wartawan Melayu di Malaysia jangan mengambil media sosial ni sebagai pesaing, media sosial ni berbeza dengan wartawan wartawan

“Dan kewartawanan merupakan satu institusi dan satu profesion, media sosial ialah satu wahana, satu platform di mana dimasukkan dilonggokkan segala apa yang di luar itu dan media sosial merupakan satu bentuk media yang melibatkan interaksi individu dan kumpulan sebagai pengeluar dan penerima dan ia bukan kewartawanan dan mereka bukan wartawan. Katanya.

Tambah Murad, dalam masyarakat Cina di Malaysia yang sekitar 25 peratus penduduknya memiliki 9 atau 10 surat khabar, tidak masalah dengan kemunculan media digital.

“Tapi mengapa mereka boleh kekalkan surat khabar mereka dan mengapa orang Melayu tidak boleh kekalkan? Soal Murad.

Rakaman segmen OOK tersebut akan disiarkan dalam 4 siri. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp