TERKINI

NUTP Cadang Wujudkan Agensi Tunggal Urus TVET

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2023 – Sebuah agensi tunggal dicadang ditubuhkan bagi menyelaras program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya lebih terurus dan berfokus menerusi Ekonomi MADANI yang dilancarkan hari ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata ini memandangkan pelbagai usaha diutarakan bagi memperkasakan TVET sebelum ini, namun hasilnya masih kurang memberangsangkan.

“Masalah utama di negara ini, terlalu banyak kementerian, agensi dan organisasi yang menganjurkan program berkenaan.

“Sudah tiba masanya, TVET di negara ini dibuka jalan ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan perkembangan teknologi di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi MADANI antara lain mahu pendidikan negara lebih berminda permintaan dengan mengeratkan kerjasama antara industri dan majikan terutama dalam pelaksanaan TVET seperti dilakukan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang.

Bagi sektor pendidikan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga akan diteruskan di bawah kerangka ekonomi itu bagi memastikan semua sekolah dilengkapi Internet.

Dalam hal ini, Aminuddin mencadangkan agar perhatian turut diberikan kerajaan dalam isu kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada sekolah selain akses Internet, yang menurutnya rata-rata kelengkapan itu di sekolah dalam keadaan daif.

“Hal ini sehingga menyebabkan guru terpaksa menggunakan peralatan sendiri khususnya komputer riba untuk menjalankan tugas pentadbiran dan pengajaran.

“Pelaksanaan pelbagai kursus berkait dengan pendigitalan juga perlu diadakan secara bersemuka kepada guru, khasnya guru senior agar mereka tidak tertekan dengan perkembangan pantas teknologi maklumat,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp