SHAH ALAM, 11 Okt 2023 – Had umur persaraan pekerja di Malaysia dicadangkan kepada 62 tahun bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi sebagai bekalan selepas bersara.
Pakar Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, alasan jika pelanjutan usia persaraan bakal menyebabkan kadar pengangguran meningkat tidak relevan kerana ekonomi semasa semakin berkembang dan secara tidak langsung peluang pekerjaan terus terbuka.
“Kerajaan dicadangkan menaikkan had umur persaraan kerana kebanyakan rakyat berada di paras kemiskinan.
“Bila kita cerita tentang wang persaraan tidak cukup, mahu atau tidak kumpulan ini tetap perlu bekerja bagi memastikan kelangsungan hidup,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 416 bertajuk Potongan Kek Ekonomi Lebih Adil pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Sementara itu, menyentuh mengenai pemberian subsidi oleh kerajaan, Muhammed berkata, ia perkara penting bagi memastikan kumpulan layak menerima bantuan itu terus dibantu.
Beliau turut mencadangkan antara subsidi yang boleh diperkenalkan oleh kerajaan adalah bantuan membeli kereta kepada golongan B40. – Sinar Harian