TERKINI

Parti Putra tolak cadangan laksana IDN, terkait isu keselamatan

Ibrahim Ali – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 Nov 2023 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID kerana mendakwa ia akan mencerobohi privasi rakyat.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kajian secara mendalam wajib dibuat terlebih dahulu dengan mengambil kira semua aspek keselamatan, privasi rakyat, kos dan lain-lain sebelum ia dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan perlu berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah dalam pelaksanaan IDN kerana industri maklumat (IT) di dalam negara ini dikuasai oleh bangsa asing.

“Pelaksanaan IDN yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa menimbulkan kegelisahan rakyat. Banyak persoalan termasuk hal-hal keselamatan dan privasi peribadi masih belum terjawab dengan meyakinkan. Katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, masalah penipuan siber atau scam kini masih tidak dapat dibendung dan sekiranya IDN dilaksanakan, kemungkinan besar akan mengundang satu lagi jenayah digital bentuk baharu.

“IDN adalah merupakan satu ‘rantai ghaib’ yang dipasang ke atas badan seseorang. Dengan kaedah teknologi kecerdasan buatan (AI) setiap pergerakan, citarasa, hatta pemikiran pemakai IDN adalah mudah dikawal seolah haiwan yang dirantai.

“Rekod-rekod rasmi peribadi seperti Mykad sudah memadai. Pelaksanaan IDN bukan sahaja menambah beban tugas kakitangan KDN, malah akan meningkat perbelanjaan kerajaan.

“Yang bakal mendapat laba dalam perojek pelaksanaan IDN adalah cukong-cukong atau kontraktor pembekal segala peralatan, bahan, software and hardware berkaitan,” jelasnya.

Sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi jaminan data peribadi rakyat Malaysia yang bakal dilaksanakan menerusi pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) adalah selamat.

Menurut Fahmi Fadzil, pembangunan IDN yang diusahakan oleh Mimos Berhad (MIMOS) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis keselamatan Negara adalah dasar kerajaan untuk menyeragamkan terutama proses daftar masuk (sign in) merentasi kementerian.

“Kita hendak selesaikan isu pendaftaran masuk, kedua isu keselamatan…bila kerajaan menyediakan satu modul yang dapat digunakan oleh semua kementerian dan selepas itu boleh digunakan di luar juga oleh pihak swasta.

“Maka isu keselamatan data peribadi itu akan dapat dikawal dengan sangat rapi dan rapat.

“Jadi kita tidak perlu risau mengenai aspek keselamatan dalam IDN nanti,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp