TERKINI

PAS sokong usaha kaji, pinda Perlembagaan Persekutuan

Takiyuddin Hassan – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 19 Feb 2024 – PAS menyokong usaha Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (Jawatankuasa khas) untuk mengkaji dan mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan serta undang-undang Persekutuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu jika perlu, harus diambil bagi mengatasi permasalahan yang timbul.

Katanya, ia juga bagi memastikan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang syariah termaktub secara jelas tanpa kekaburan.

Beliau berkata, perdebatan dalam masyarakat terutama dalam kalangan orang Islam berkaitan kedudukan dan masa depan undang-undang syariah menuntut penyelesaian segera dan efektif bagi menghindari kesan lebih besar.

Polemik sedia ada, katanya, berpunca daripada keputusan dan alasan penghakiman mahkamah yang menyaksikan undang-undang syariah negeri tercabar serta terbatal, sekali gus terdedah kepada kemungkinan pembatalan lain pada masa depan.

“Sebagai masyarakat Islam yang menerima syariah bukan sahaja sebagai tanggungjawab tetapi juga hak agama, PAS percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang syariah mesti diambil dan didukung penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan.

“PAS yakin Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri yang memikul peranan sejarah utama sebagai obor serta payung agama, budaya, keunggulan nilai, susila serta perpaduan dan kerukunan umat, akan terus mendapat sokongan dan dukungan rakyat jelata terutama umat Islam,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas hasil mesyuarat yang dilakukan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MTI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini, Sultan Selangor disembah maklum bahawa Jawatankuasa khas ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan berbangkit.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakiman majoriti 8-1.

Mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen yang disenaraikan dalam petisyen berkenaan adalah sah.

Petisyen itu dibenarkan kerana badan perundangan negeri membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Keputusan berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pihak yang turut mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik.

Takiyuddin yang Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS akan terus komited dengan saranan al-Quran supaya bekerjasama dan saling menolong (ta’awun) dalam perkara yang membawa kepada kebaikan.

“PAS turut mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen tahun ini.

“PAS berharap semua pihak berkepentingan bersifat rentas parti seharusnya dijemput untuk turut memberi pandangan dan buah fikiran bagi memastikan hasrat mempertingkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dapat direalisasikan,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp