
KUALA LUMPUR, 22 Mac 25 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru masyarakat antarabangsa untuk menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar Pasukan Pengaman ke Gaza sebagai tindakan campur tangan ketenteraan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Dalam satu kenyataan, Mahathir berkata bahawa Gabungan Global Menentang Pendudukan Palestin (GCAOP) bersetuju dengan pandangan beliau untuk PBB menghantar Pasukan Pengaman untuk mewujudkan koridor bantuan kemanusiaan.
“Selaras dengan pandangan saya sebelum ini untuk kehadiran Pasukan Pengaman PBB, GCAOP juga menyeru campur tangan tentera untuk mendapatkan koridor bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan.
“Mereka juga menyeru agar dikenakan sekatan ke atas mana-mana entiti atau individu yang bertanggungjawab menyekat bantuan ke Gaza, memetik Konvensyen Geneva Keempat dan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa. Kata Mahathir.
Mahathir dalam kenyataan yang sama memetik kenyataan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), “Uniting for Peace Resolution” (UNGA Res. 377(V), 1950) PBB memutuskan bahawa jika Majlis Keselamatan gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, Perhimpunan Agung boleh memanggil sesi khas tergempar.
“Memandangkan keadaan yang teruk, sudah pasti terdapat keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan pengiktirafan Hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri. Tambahnya.
Mahathir yang juga Presiden Perdana Global Peace Foundation berkata, beliau menyokong gerakan ini dalam membantu penduduk Gaza.
“Kami perlu melakukan apa sahaja usaha yang kami boleh untuk membetulkan keadaan.
Dan saya tidak akan berhenti berteriak bahawa dari Sungai ke Laut, Palestin akan bebas! from the River to the Sea, Palestine will be free!
Terdahulu, kira-kira lima jam selepas tamat tempoh gencatan senjata, Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.
Lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa.
Serangan berlaku dalam keadaan sekatan masih dikenakan ke atas Gaza, menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk terputus bekalan keperluan asas.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari,
Pasukan perunding dari Israel dan Hamas berada di Doha ketika perantara berusaha menyelesaikan perbezaan antara kedua-dua pihak selepas fasa pertama gencatan senjata berakhir.
Dalam tempoh itu, 33 tebusan Israel dan lima rakyat Thailand dibebaskan sebagai pertukaran untuk kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Israel mendesak baki tebusan dikembalikan sebagai pertukaran bagi lanjutan gencatan senjata sekurang-kurangnya sehingga selepas bulan Ramadan dan perayaan Paskah Yahudi pada April.
Namun, Hamas bertegas mahu beralih kepada rundingan untuk menamatkan perang sepenuhnya dan pengunduran penuh tentera Israel, sebagaimana dalam perjanjian asal gencatan senjata. – malayadaily.com