TERKINI

Peguam gesa RCI kes insiden OKU

Rafique Rashid – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 2 Jun 24 – Pengamal undang-undang, Rafique Rashid mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperhalusi dan mengkaji insiden jenayah yang melibatkan pegawai pengiring orang kenamaan (VVIP) terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU), baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di laman sosial facebook, Rafique berkata sudah sampai masanya masyarakat membincang secara terbuka keperluan untuk rakyat menuntut ketelusan dalam segala bentuk siasatan mana-mana insiden yang libatkan VVIP.

“Bukan sahaja perlu ada siasatan mendalam keatas sistem PDRM, tetapi kali ini siasatan itu mesti menjurus ke arah mengenal pasti sejauh mana pihak berkuasa lebih condong kepada golongan berada, berpangkat, berharta dan bergelaran berbanding rakyat biasa. Tegasnya.

Beliau bagaimanapun turut berterima kasih kepada Temangku Sultan Johor (TMJ) yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus yang mana ia sesuai dengan kehendak rakyat.

“Bagus bahawa Pemangku Sultan Johor, TMJ, inginkan siasatan yang telus.

“Itu juga dikehendaki rakyat. Sepertimana juga rakyat ingin tahu insiden-insiden babitkan penyokong dipukul anggota keselamatan serta pemain bola negara ‘disamun’ dan disimbah asid. Ujarnya.

Tambah Rafique, negara ini mempunyai undang-undang dan perlembagaan yang mana kedudukannya mengatasi dari sesiapa pun.

“Rakyat bukan bola untuk disepak-sepak dan dipermain oleh wayang mereka yang punyai segala.

“Negara ini punyai undang-undang dan perlembagaan lebih tinggi dari sesiapa .

“Satu RCI perlu ditubuh untuk kaji dan perhalusi segala insiden libatkan golongan VVIP dan rakyat biasa. Rakyat perlu rasa selamat dalam negara yang amal sistem Raja Berperlembagaan. Tegasnya.

Terdahulu, pemandu kenderaan e-hailing yang juga seorang OKU mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara, namun pada Selasa hari berikutnya, laporan tersebut telah ditarik balik, kata Ketua Polis Kuala Lumpur.

Selepas itu, pemandu e-hailig tersebut menafikan dia sudah menarik balik laporan polis tersebut, dalam kenyataan yang dilihat bercanggah dengan dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa.

Keadaan bertambah panas apabila Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan dari segi undang-undang jenayah, tiada istilah kes telah selesai walaupun mangsa membuat laporan polis kedua menyatakan bahawa kes telah selesai.

Sungguhpun kenyataan Hassan Karim tidak memetik sebarang nama atau menyentuh kes secara khusus, namun dipercayai berkaitan kes pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

Selepas itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya pada Selasa lalu.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, tidak sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp