TERKINI

Peguam ingatkan perang terhadap rasuah bukan atas kepentingan peribadi atau politik

Haniff Khatri Abdulla – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Jan 2023 – Peguam Haniff Khatri Abdulla mengingatkan bahawa perang terhadap rasuah serta salahguna kuasa melibatkan pemimpin kerajaan, bukan atas kepentingan peribadi atau politik mana-mana pemimpin kerajaan.

Haniff berkata, laungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menentang rasuah dan salahguna kuasa wajib dituruti dengan tindakan adil dan saksama serta tidak memihak

“Sejak memegang teraju sebagai ketua kerajaan mulai 24 November 2022, rakyat Malaysia sudah sering didendangkan dengan “laungan” bahawa semua pemimpin yang “curi” dan “sakau” kekayaan negara serta wang rakyat akan diambil tindakan tegas.

Kata beliau, sememangnya sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara, semestinya mengalu-alukan laungan berkenaan yang wajib disusuli dengan tindakan wajar oleh pihak berkuasa berkaitan, sama ada SPRM mahupun polis.

“Mereka ini sepatutnya tidak pun perlu menunggu laungan sedemikian daripada mana-mana pemimpin kerana menjadi tanggungjawab termesti untuk melakukan siasatan mana-mana aduan tanpa dicampuri arahan pemimpin kerajaan,” katanya.

Dalam entri yang sama, Haniff turut mengulas siasatan SPRM berkaitan Tun Daim Zainuddin dengan LCS.

Menurut beliau, dalam proses mengumpul bukti yang perlu dalam mana-mana siasatan, terutama jenayah komersial seperti rasuah atau salahguna kuasa, aliran dan transaksi perbankan serta kewangan adalah satu faktor dan bukti teramat penting.

Sedangkan, kata beliau, menurut peruntukan perundangan dan amalan biasa sistem perbankan dan kewangan, dokumen seperti penyata akuan bank dan salinan cek kebiasaannya dilupuskan oleh pihak kewangan dalam tempoh selepas enam tahun.

Ini jelasnya, menyebabkan mana-mana siasatan yang dilakukan untuk alegasi jenayah yang sudah lama dimakan usia seperti 20 ataupun 25 tahun adalah satu proses yang sukar untuk diperolehi bukti ke tahap hampir mustahil.

“Atas sebab inilah ianya penting untuk pihak berkuasa mengadakan siasatan seawal mungkin tanpa gangguan atau campur tangan pihak kerajaan.

“Dan, oleh sebab itulah juga ianya boleh menjadi salah untuk menuding jari kesalahan terhadap sesiapa saja untuk alegasi jenayah yang lama dimakan usia.

“Sedangkan, pihak berkuasa sedia tahu adalah amat sukar ke tahap mustahil untuk mendapatkan bukti yang memadai bagi tujuan pendakwaan jenayah dibawa ke mahkamah dalam kes yang sudah dimakan usia ini,” ujar beliau.

Berhubung skandal Kapal Tempur Pesisir Laut Malaysia (LCS), Haniff menyatakan, skandal ini lebih segar bagi memudahkan siasatan adil dan saksama untuk diambil tindakan.

Projek itu, telah dibelenggu dengan lebihan kos dan kelewatan tanpa satu kapal dihantar setakat Ogos 2022 dan melibatkan pembayaran sebanyak RM6 bilion tanpa perolehan walau satu pun kapal.

“Sepatutnya menurut konsep siasatan jenayah, memandangakan sudahpun ada laporan audit profesional serta Laporan PAC Parlimen, maka usaha menjalankan siasatan yang adil dan saksama berhubung skandal LCS akan menjadi mudah untuk dilaksanakan dengan lengkap.

“Persoalan yang berligar di minda rakyat yang prihatin adakah kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan berkaitan skandal LCS ini ataupun kegagalan pimpinan kerajaan terkini untuk meminta siasatan lanjut skandal berkenaan disegerakan?

“Bukankah kegagalan untuk meneruskan siasatan rapi oleh pihak berkuasa menjadikan persepsi itu berasas?

“Bukankah oleh itu “laungan” Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk memerangiI rasuah dan salahguna kuasa menjadi indah khabar dari rupa serta satu retorika palsu?” soal beliau.

Disember lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita Bangunan Menara Ilham, yang dimiliki oleh keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkaitan siasatan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.

Sebelum itu, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 Ogos 2022 mendedahkan, tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.

Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu dan PAC mendapati BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek berkenaan.

Namun pada 27 Mei 2023, kerajaan mengumumkan mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), supaya projek berkenaan dapat diselesaikan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp