KUALA LUMPUR, 24 Mei 2023 – Sudah tiba masanya sumber air mentah dipelbagaikan bagi mengatasi masalah air yang sering berlaku di negara ini.
Menurut Profesional Persekitaran Air, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed, masih belum terlambat untuk pihak berkenaan mempelbagaikan sumber air mentah.
Azuhan menjelaskan, banyak negara-negara lain yang telah mempelbagai sumber air mentah mereka untuk digunakan ketika musim kemarau berpanjangan yang menjejaskan bekalan air.
“Kita belum terlambat untuk mempelbagaikan sumber air mentah untuk dijadikan bekalan jika berlakunya masalah air.
“Disebabkan kita ada air hujan terlampau banyak, kita lupa yang kita perlu mempelbagai sumber air kerana di suatu masa nanti kemarau akan menjadi teruk dan kita tak akan ada air.
“Jadi, di sini saya tegaskan kita perlu perancangan yang rapi untuk membangunkan sumber air tanah negara supaya ia dapat digunakan secara mapan,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Air Malaysia (Malaysian Water Partnership, MyWP), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali turut menggesa agar memanfaatkan sumber alternatif seperti air bawah tanah.
Sudah tiba masanya ia digunakan untuk kawasan-kawasan tertentu bagi mengatasi masalah yang dihadapi terutama ketika cuaca panas dan kekurangan hujan.
Beliau juga menyarankan agar konsep takungan air tepi sungai seperti yang dilakukan di Selangor wajar diterokai. – Awani