TERKINI

Pemeriksa SPM 2022 Mengeluh, KPM Selesaikan Bayaran Selewatnya 31 Julai

Gambar hiasan – foto utusan tv

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2023 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pembayaran Tuntutan Ikhtisas (IKH) dan Tuntutan Perjalanan (TNT) bagi petugas serta pemeriksa peperiksaan akan diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 31 Julai 2023.

KPM dalam satu kenyataan berkata, sehingga 23 Jun 2023, pembayaran IKH dan TNT telah selesai 100 peratus di sembilan negeri.

“KPM komited memastikan pembayaran tuntutan petugas dan pemeriksa peperiksaan SPM Tahun 2022 diselesaikan segera,” katanya dalam kenyataan menerusi siaran di Facebook pada Ahad.

Pada Jumaat, seorang guru, Mohd Fadli Salleh memuat naik beberapa tangkap layar luahan beberapa pendidik yang menjadi pengawas dan penanda kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran dan upah bagi tugasan berkenaan.

Seorang guru yang juga pempengaruh, Mohd Fadli Salleh menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil serius berhubung isu tuntutan bayaran kepada pengawas dan penanda kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Ujar beliau, ramai dalam individu tersebut masih belum mendapat bayaran mereka.

“Sudahlah bayaran tidak setimpal dengan bebanan tugas, claim (tuntutan) yang dibuat kena potong, lambat bayar pula. Naya dekat orang. Hmmm,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menerusi hantaran berkenaan, Mohd Fadli turut memuat naik komentar luahan daripada kalangan pengawas dan penanda kertas berkenaan.

Seorang individu yang mendakwa sebagai pengawas meluahkan yang dia serik untuk menerima tawaran berkenaan pada masa akan datang.

“Maaflah SPM 2023 tidak akan terima lagi untuk jadi pengawas,” ujarnya.

Mohd Fadli turut melampirkan komentar seorang penanda kertas yang mendakwa, kadar bayaran bagi semakan kertas sangat tidak setimpal.

“Kertas amali Sains hanya ada sedikit, berjumlah markah kurang dari 20 markah bayarannya hanya RM3.

“Kertas 2 ada hampir 100 markah, berpuluh-puluh muka surat, tetapi dibayar RM4.

“Tidakkah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) memikirkan soal pemberat dan ini memang tidak adil. RM4 ibarat bayaran ‘buruh percuma’,” katanya. – sinar harian

Facebook
Twitter
WhatsApp