ALOR SETAR, 22 Jun 2023 – Eksploitasi terhadap sejarah Kedah dan Pulau Pinang wajar diperbetul semula selepas ianya didakwa dipesongkan sejak zaman British pada tahun 1786 yang kini sudah menjangkau 237 tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha membetulkan sejarah tersebut berdasarkan kajian-kajian ilmiah terkini dan tidak hanya bersandar kepada kehendak semata-mata.
“Mana-mana pihak tidak wajar berasa bimbang atau risau atas titah yang dizahirkan oleh Sultan Kedah kerana ia adalah benar, lurus dan betul berdasarkan fakta yang dimiliki. Bukan tujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa.
“Kerajaan negeri menjunjung titah perintah Sultan Kedah yang mahu sejarah sebenar direalisasikan berdasarkan pembentangan fakta tanpa prejudis kepada mana-mana pihak yang usaha itu sedang kita lakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, hari ini.
Polemik Kedah dan Pulau Pinang bangkit semula selepas Muhammad Sanusi mendakwa tiada sempadan antara kedua-dua negeri berkenaan kerana Pulau Pinang adalah milik Kedah dan tidak pernah terlepas negeri itu selama ini.
Ahad lalu, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik yang membenarkan sejarah Kedah yang wujud sejak sekian lama dipadamkan.
Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.
Tambah Muhammad Sanusi, sekiranya pembetulan itu tidak dibuat, rakyat terutama generasi muda akan terus hidup dalam pemesongan sejarah yang dibuat pihak yang mempunyai kepentingan dalam setiap peristiwa yang berlaku.
“Ada pakar sejarah kata sewa (Pulau Pinang) sudah terbatal. Itu dia seorang sahaja yang kata kerana dia juga lahir daripada sistem yang telah dipesongkan. Saya tak tahu PhD dia kaji bab apa.
“Jadi apabila kita ada hasrat murni untuk memperbetul pemesongan membabitkan Kedah, maka hasrat ini patut disokong selagi ia benar berdasarkan hakikat yang telah terjadi pada waktu itu dan mesti diperbetul sekarang ini,” katanya.
Kelmarin, pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menjelaskan, sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.
Menurut beliau, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan. – Utusan Malaysia