KUALA LUMPUR, 29 Dis — Pemuda UMNO mengambil langkah luar biasa dengan menganjurkan konvensyen khas pada 3 Januari depan untuk membincangkan secara terbuka sama ada sayap itu perlu kekal bersama atau menarik diri daripada Kerajaan Madani, susulan kontroversi terbaru yang melanda gabungan pemerintah.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, berkata konvensyen yang akan berlangsung di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dirancang sebagai platform bagi ahli sayap itu menyatakan pendirian dan hasrat mereka sebelum keputusan dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Dr Akmal, konvensyen diadakan hasil daripada kegelisahan ahli terhadap tindak–tanduk sekutu dalam kerajaan, khususnya selepas Yeo Bee Yin (DAP) gagal memohon maaf secara terbuka dalam tempoh yang ditetapkan berhubung kenyataannya mengenai keputusan mahkamah berkenaan tahanan rumah bekas perdana menteri.
“Biar kita nyatakan hasrat dan isi hati kita… agar apa yang dibincangkan dalam konvensyen ini dibawa kepada MKT,” tegas beliau dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook.
Isu ini mencetuskan kemarahan bukan hanya dalam kalangan ahli UMNO, tetapi juga menyaksikan Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum kepada pejabat Yeo di Puchong, menuntut permohonan maaf serta penurunan hantaran berkenaan.
Pemuda UMNO Puchong kemudiannya mengumumkan penamatan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kawasan itu sebagai tindakan susulan, sementara Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, turut menyokong idea untuk menilai semula kerjasama dengan sekutu dalam kerajaan.
Konvensyen khas ini dijangka mencetuskan perdebatan hangat tentang hala tuju kerjasama politik UMNO dalam Kerajaan Madani, terutama ketika negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang. – malayadaily