TERKINI

Pengampunan Najib : Peguam Negara wajar beri penjelasan dakwaan Shafee Abdullah – Haniff Khatri

Shafee Abdullah, Haniff Khatri Abudlla (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Feb 2024 – Peguam Haniff Khatri Abudlla berpendapat Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh wajar memberikan penjelasan lengkap berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh peguam Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah.

Menurut Haniff dalam satu kenyataan video di facebook beliau, penjelasan tersebut penting untuk memelihara keyakinan dan hormat masyarakat kepada kesemua institut keadilan negara termasuk institut Lembaga Pengampunan.

“Dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan oleh Shafee Abudllah bagi pihak Najib Razak sememangnya perlu penjelasan yang wajar dan lengkap.

“Peguam Negara Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh wajar memberikan penjelasan lengkap dan tepat berkaitan dakwaan-dakwaan berkenaan untuk memelihara keyakinan dan hormat masyarakat kepada kesemua institut keadilan negara termasuk institut Lembaga Pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, Shafee Abdullah dilaporkan oleh media, mendedahkan bahawa Lembaga Pengampunan tidak menasihat Agong mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu.

Katanya, ia menyebut bahawa Lembaga Pengampunan, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, pada 29 Jan menasihati Agong supaya Najib meneruskan baki hukuman.

Bagaimanapun, kata Shafee, surat itu juga menyebut titah Agong bahawa “adalah munasabah pada hemat beta, belas kasihan patut diberi kepada Najib.”

Surat itu mengandungi perintah Al-Sultan Abdullah yang menjalankan kuasa baginda bawah Perkara 42 serta kuasa-kuasa lain, supaya hukuman terhadap Najib dikurangkan separuh dan denda dikurangkan kepada RM50 juta. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp