TERKINI

Penyelewengan UiTM Holdings : Ibrahim Ali gesa Ketua SPRM beri penjelasan

Azam Baki (kiri), Ibrahim Ali (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 25 Feb 2024 – Presiden parti Putra, Dato Paduka Dr Ibrahim Ali menzahirkan kekecewaan berhubung laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan UiTM Holdings dan pengurusan UiTM.

Dalam satu sidang media, Ibrahim Ali berkata, berdasarkan maklum balas SPRM kepadanya menerusi pesanan whatsapp, laporan tersebut menyatakan ‘No Further Action’ (NFA) atau Tiada Tindakan Lanjut.

“Saya duka dukacita, saya buat dua laporan kepada SPRM tahun lepas sekali, baru ni sekali, dua laporan bersabit dengan penyelewengan dalam UiTM malangnya, mengikut WhatsApp yang saya terima, kononnya laporan saya ni no further action. Ujarnya.

Menurut beliau, hal penyelewengan dalam UiTM ini didedah sendiri oleh bekas Naib Canselor, bekas pengerusi lembaga pengarah dan laporan ketua audit negara, namun laporan tersebut berstatus ‘No Further Action’

“Kenapa SPRM kata tak ada (no further action) ataupun tak ada kes, ataupun benar SPRM ini dia selektif penyiasatan dan pendakwaan tidak telus.

“Kalau betul-betul Tan Sri Azam ini ketua pengarah yang ada integriti, saya minta diberi penjelasan secara terbuka kenapa kes UiTM ini ditutup ataupun No Further Action. Tegasnya.

Pada Disember lalu, Ibrahim Ali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung laporan penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan UiTM Holdings dan pengurusan UiTM, ia merupakan laporan kedua kepada SPRM selepas laporan pertama dibuat pada 31 Januari 2023 lalu, namun masih belum ada maklum balas daripada pihak SPRM berhubung laporan tersebut.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara 2022 mendedahkan sebanyak RM259.98 juta wang dilaburkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui suntikan modal dan penukaran pinjaman kepada ekuiti tanpa kelulusan kementerian kewangan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp