14 Jan — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Melaka mendesak Kerajaan Negeri serta Majlis Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menyiasat sebuah hotel di negeri itu yang didakwa menawarkan fasiliti “Gay Friendly”, susulan laporan media yang tular baru-baru ini.
Menurut Yang Di-Pertua PERKASA Melaka, Mansor Bhai, slogan “Gay Friendly” menimbulkan persoalan sama ada hotel berkenaan bertujuan menghidupkan aktiviti songsang di premis tersebut.
“Sebelum ini terdapat pelbagai slogan seperti Muslim Friendly dan pelbagai lagi Friendly. Tetapi hari ini kita dikejutkan dengan Gay Friendly? Apakah yang sedang berlaku? Adakah aktiviti LGBTQ kini sedang dinormalisasikan dalam industri pelancongan?” soal Mansor.
Beliau menegaskan bahawa budaya songsang seperti LGBTQ tidak diterima dalam negara ini dan menuntut tindakan tegas sekiranya dakwaan terbukti benar. PERKASA berharap kerajaan negeri membersihkan industri pelancongan Melaka daripada anasir negatif ini.
Selain itu, Mansor juga menggesa agensi penguatkuasa memantau setiap hotel, terutama hotel bajet, yang berpotensi menawarkan perkhidmatan songsang kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada imej sektor pelancongan negeri.
“Kami turut menyeru rakyat, khususnya pelancong yang ingin mengunjungi Melaka, supaya memboikot hotel ini sebagai bentuk bantahan terhadap aktiviti yang bercanggah dengan nilai masyarakat,” kata beliau dalam satu kenyataan.
PERKASA menekankan bahawa tindakan segera oleh kerajaan negeri adalah penting untuk memulihkan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan bersejarah yang dihormati di peringkat nasional.
Baru-baru ini tular satu dakwaan mengenai sebuah hotel yang dikatakan meletakkan label ‘gay friendly’ dalam senarainya. – malayadaily