TERKINI

Petik Ayat Quran Tanpa Disiplin Ilmu, Boleh Cetus Kekeliruan – Mujahid

PARIT BUNTAR, 24 Sept 2023 – Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menasihati semua pihak supaya berhati-hati dalam memetik atau menukilkan ayat suci al-Quran kerana dikhuatiri menafsir ayat suci itu secara di luar konteks.

Mujahid berkata, sebarang tafsiran terhadap ayat kitab suci itu perlu disertai dengan disiplin ilmu berkaitannya supaya ia tidak dieksploitasikan bagi kepentingan diri.

Menurut beliau, perbuatan memetik ayat suci al-Quran tanpa disiplin ilmu yang sepatutnya termasuk dari segi rujukan, bukan saja boleh mencetuskan kekeliruan tetapi juga boleh menimbulkan perasaan tidak senang sesetengah pihak atas dasar keilmuan di luar daripada sekadar konteks politik kepartian.

“Tidak kiralah siapa yang berkata (mentafsir) sama ada orang Islam atau bukan, saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana mungkin boleh menimbulkan salah faham dan kekeliruan, terutama dalam kalangan orang yang berasa tersinggung, khususnya dalam suasana politik yang panas hari ini,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata siasatan isu berhubung Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat suci al-Quran, kini diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri, menyifatkan Howard sebagai kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila Ahli Parlimen DAP itu didakwa memutarbelitkan tafsiran ayat 59 surah an-Nisa.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, tafsiran terhadap petikan ayat suci al-Quran yang jika dibuat tanpa ilmu dan disiplin berkaitan, dikhuatiri lari daripada maksud asalnya, sekali gus boleh mengheret masyarakat kepada polemik yang mereka sendiri juga berkemungkinan tiada pengetahuan mengenainya.

“Saya tidak katakan yang saya tidak bersetuju (dengan tindakan Howard). Masya-Allah, masakan saya tidak bersetuju kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran, cuma saya menasihati agar berhati-hati kerana al-Quran mempunyai disiplin tersendiri yang bukan sekadar dibaca secara luaran (zahir).

“Apabila kita hanya menukilkan begitu saja, maka orang yang tahu mengenai ayat al-Quran itu akan terasa kitab suci berkenaan dipermudahkan tanpa perincian sebenar,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp