TERKINI

Pilihan raya Britain diadakan pada 4 Julai

Rishi Sunak – foto Tribune India

LONDON, 23 Mei 24 – Perdana Menteri United Kingdom, Rishi Sunak menetapkan 4 Julai 2024 sebagai tarikh pilihan raya negara itu.

Pengumuman tarikh penentuan itu dibuat di hadapan pejabat rasminya di 10th Downing Street, London pada Rabu.

Beliau dalam ucapannya berkata ‘ini adalah masa untuk Britain menentukan masa depannya.’

“Raja Charles III telah memperkenan permohonan untuk membubarkan Parlimen dan kita akan mengadakan pilihan raya pada 4 Julai,” katanya.

Pemimpin parti negara yang mempunyai sejarah sistem pentadbiran yang lampau itu lagi turut menyentuh isu yang paling menghimpit rakyat Britain iaitu berkenaan inflasi.

Jelas beliau, sepanjang menakhoda Parti Konservatif, kerajaannya berjaya menurunkan kadar inflasi kepada 2.3 peratus setakat April tahun ini.

Katanya, ia sekali gus membuktikan bahawa setiap pelan dan keutamaan agenda ekonominya berjaya.

“Ini adalah merupakan pencapaian ekonomi yang tidak mudah tetapi ia hanya satu permulaan buat Britain,” jelasnya dalam ucapan sama.

Bagi pemerhati politik Britain, tarikh 4 Julai menjadi taruhan penting buat pentadbiran Britain kerana berdasarkan tinjauan semasa, Parti Buruh yang dipimpin Keir Starmer dari blok pembangkang mendahului 20 mata jangkaan keputusan pilihan raya dengan isu inflasi menjadi faktor utama penentuan. – Awani/Agensi

Facebook
Twitter
WhatsApp