TERKINI

Pindaan Akta Perubatan 1971: Beri kuasa hanya MMC, akan buka ruang untuk salah guna kuasa – Rakyat Prihatin

Dayang Anita Abdul Aziz (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 17 Julai 24 – Pakar Perubatan Dr. Dayang Anita Abdul Aziz, mewakili kumpulan profesional yang menggelar diri sebagai Rakyat Prihatin, menyifatkan pembentangan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 oleh Menteri Kesihatan, akan membuka ruang untuk berlaku salah guna kuasa, malah pindaan tersebut hanya untuk mengabsahkan program Parallel Pathway yang tidak mengikut akta sebelum ini.

Beliau ketika dihubungi berkata, langkah tersebut disifatkan tidak sesuai kerana Kementerian Kesihatan sudah terbeban dengan tugas sebagai pemberi khidmat kesihatan.

“(Cadangan) tersebut dibuat untuk meneruskan program parallel pathway yg tidak mengikut Akta sebelum ini.

“Tidak sesuai KKM, kerana mereka sudah terbeban sebagai pemberi khidmat kesihatan. Ujarnya kepada malayadaily.

Tambah beliau, untuk menjalankan program Parallel Pathway ini merupakan suatu kerja hakiki yang berat kerana ia bukan sekadar memberi latihan semasa, sebaliknya tugas kakitangan kesihatan meliputi operasi kesihatan di hospital dan klinik.

“Sepatutnya untuk muncul sebagai negara maju, kita bekerjasama buat tugasan hakiki masing-masing iaitu KPT ialah Pemberi Pendidikan Tinggi dan KKM Pemberi Khidmat Kesihatan

“Dengan Akta sedia ada, dah molek sangat. Pihak KKM sama-sama duduk dalam Jawatan Kuasa Kepakaran Kebangsaan dan disiplin masing-masing.

“Universiti hantar pakar pelatih utk dapat pengalaman dari mereka di KKM, yang dipantau kualiti pengajarannya. Universiti uruskan proses dokumentasi dan akreditasi. KKM tak terbeban.

“KKM tak mampu buat sebab itu dia subcon kepada Persatuan-persatuan dan Kolej-kolej di bawah Akademi Perubatan Malaysia, tegasnya.

Kumpulan Rakyat Prihatan dalam memorandumnya berpendapat bahawa cadangan Menteri Kesihatan tersebut akan memusatkan kuasa pengiktirafan kepada hanya satu badan iaitu Majlis Perubatan Malaysai (MMC), dan ia merupakan satu masalah.

“Ini bermakna MMC diberi kuasa menjalankan pengiktirafan kelayakan tanpa merujuk kepada Akta MQA. Ini juga membawa maksud pengiktirafan institusi pendidikan/latihan beralih daripada Kementerian Pengajian Tinggi kepada MMC.

“Ini adalah satu perubahan dasar yang besar dalam pengajian tinggi dan mungkin akan melibatkan profesion lain. Adakah KPT sudah mengkaji impak pindaan ini ke atas program professional lain? Ulasnya.

Rakyat Prihatin merumuskan bahawa pindaan ini akan menyebabkan tiada check and balance dari segi kebebasan menjamin kualiti kerana Majlis yang sama melaksanakan semua proses.

“Ini berbeza dengan proses yang dilalui oleh institusi pengajian tempatan yang memperolehi kelulusan menjalankan program daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan penjaminan kualiti daripada MQA.

“Ini adalah proses yang menjamin keutuhan sistem kualiti yang diamalkan di peringkat antarabangsa.

“Memberi kuasa hanya kepada satu badan iaitu MMC akan membuka ruang untuk salah guna kuasa.

“Jika RUU ini diluluskan kita akan mendedahkan kualiti sistem kesihatan kepada risiko reputasi yang
akan menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa. Kesan paling penting adalah kepada
medical tourism. Kata Rakyat Prihatin.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membentangkan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat untuk menambah baik kualiti dan kuantiti pakar perubatan yang akan dilahirkan sama ada melalui program sarjana atau laluan `parallel’.

RUU itu juga antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar. –malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp