KUALA TERENGGANU, 6 Okt 2023 – Kerajaan Terengganu yakin sasaran 300,000 pelancung ke Tasiik Kenyir mampu di capai menjelang akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata setakat Julai lalu, jumlah kedatangan pelancong ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu direkodkan adalah 141,487 orang.
“Walaupun musim tengkujuh hampir tiba, sasaran tersebut dapat dicapai memandangkan Tasik Kenyir masih menjadi tumpuan khususnya dalam kalangan pemancing,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Mohd Zawawi Ismail (PAS-Telemong) mengenai jumlah kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir dan usaha kerajaan negeri bagi merancakkan sektor berkenaan.
Menurut Razali jumlah kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir mengalami penurunan drastik iaitu dari 607,398 pada 2019 kepada 208,097 pada 2020.
Bagaimanapun menurut Razali pada 2021 jumlah pelancong meningkat kepada 277,969 orang namun berkurangan kepada 246,896 pelawat pada 2022.
“Penurunan drastik disebabkan serangan COVID-19. Namun dengan penganjuran pelbagai acara di kawasan tersebut, kita yakin sektor pelancongan di Kenyir akan kembali rancak seperti sebelumnya,” katanya.
Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN, Razali berkata kelebihan Tasik Kenyir adalah ia terkenal dengan jolokan ‘syurga kaki pancing’ dan setiap kali musim tengkujuh, ia menerima impak positif kerana peningkatan tempahan rumah bot.
“Walaupun banyak pengusaha rumah bot beroperasi di Tasik Kenyir, ia sebenarnya belum mampu menampung jumlah permintaan pelancong dari luar terutama pada hujung tahun,” katanya. – Bernama