TERKINI

Sumber SPRM sahkan siasatan Mokhzani berkaitan Tun M

Mokhzani Mahathir (kiri) – Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 28 Jan 2024 – Siasatan terhadap Tan Sri Mokhzani Mahathir dipercayai mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan kuasa membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu dimaklumkan sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada New Straits Times (NST).

“Siasatan ke atas Mokhzani dan abangnya, Mirzan, mempunyai kaitan dengan bapa mereka tetapi kes Mokhzani tiada kaitan dengan kes Mirzan,” katanya.

Jumaat lalu, Mohkzani hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan dan perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Siasatan SPRM dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pegangan sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.

Syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara ketika bapanya menjadi Perdana Menteri.

SPRM mengesahkan memanggil Mirzan untuk diambil keterangan pada 17 Januari lalu.

Satu perintah notis disampaikan SPRM kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset miliknya dalam tempoh 30 hari.

Perintah itu adalah lanjutan siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama dan aktiviti perniagaannya membabitkan penjualan serta pembelian GLC. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp