TERKINI

PM Beri Jaminan Harga Beras Tempatan Tidak Naik Harga

Gambar hiasan – foto Utusan Borneo Online

KUALA LUMPUR, 4 Sept 2023 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga beras tempatan tidak akan mengalami peningkatan, malah bekalan bakal ditambah sekiranya berlaku kekurangan dalam pasaran.

Ketika mengulas isu kenaikan harga beras import hingga 36 peratus, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan harga beras tempatan tidak akan naik, meskipun berlaku kenaikan membabitkan beras import terutama dari India.

“Beras yang dimakan oleh rakyat, tak boleh naik, itu keputusan kita tetapi ada yang cakap beras naik. Kenapa beli beras mahal, beras import, kalau nak beli beras basmati kenalah bayar, saya jaga rakyat dan kalau perlu tambah, kita tambah,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dewan Terbuka Serbaguna Taman Desa di sini, pada Ahad.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pegawai-pegawai tinggi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan pesawah pada Khamis ini bagi membincangkan isu bekalan beras tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak pengilang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga diarah menghantar bekalan di mana-mana lokasi berlaku kekurangan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dimanipulasi sebagai beras import. – Utusan Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp