KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2023 – Pertemuan pertama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Haji hadi Awang selepas Pilihanraya Negeri (PRN) berlangsung hari ini di kediaman Tun Mahathir.
Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya, Haji Hadi melakukan lawatan ke atas Tun sebagai penghargaan kepada Mahathir atas sokongan dan sumbangan beliau kepada Perikatan Nasional (PN) dalam kempen PRN baru-baru ini.
“Lawatan Tuan Guru bagi menyatakan penghargaan kepada Tun atas sumbangan beliau dalam membantu memenangkan PN dalam PRN baru-baru ini.
“Mereka juga turut berbincang berkaitan Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan juga DUN Simpang Jeram, untuk pastikan pilihanraya kecil dimenangi oleh calon PN. Ujar Marzuki yang turut sama dalam pertemuan tersebut.
Marzuki juga berkata dalam pertemuan tersebut antara lain yang turut dibincangkan adalah mengenai gerakan Proklamasi Orang Melayu (POM).
“Mereka sepakat untuk terus berusaha menyatukan kembali orang Melayu dalam konteks yang lebih luas yakni diluar konteks parti politik, POM akan diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan orang Melayu dari segi konteks politik dan ekonominya agar lebih stabil.
“Tun menerima dengan positif pandangan Haji Hadi. Kata Marzuki.
Dalam pertemuan tersebut, turut hadir YB Mohd Syahir bin Che Sulaiman, Setiausaha Politik Presiden PAS dan juga Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. – malayadaily.