TERKINI

Hutang Berbilion, Kerajaan Tak Mampu Naik Gaji Penjawat Awam, dakwa Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Kerajaan tidak mempunyai peruntukan besar bagi menaikkan gaji penjawat awam berikutan tanggungan untuk membayar hutang yang besar, dakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan skim gaji penjawat awam dikaji secara berperingkat berdasarkan keupayaan ekonomi negara.

“Kononnya mahu naik gaji pegawai kerajaan, mahu naik bagaimana, duit pun tiada.

“Bayar hutang sahaja berbilion setahun, macam mana mahu naik gaji?” katanya.

Mahathir berkata demikian dalam program Jelajah Bicara Bangsa di Sikamat, Negeri Sembilan malam tadi.

Mahathir juga mempersoalkan kenyataan Anwar yang mencadangkan agar gaji lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan disamping pemberian elaun perantisan minimum.

“Syarikat mempunyai bajet tertentu, tidak sewenangnya naik gaji pegawai dan kakitangan mereka.

“Ini akan menyebabkan perniagaan mereka akan jadi rugi,” katanya lagi.

Pada Julai lalu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, cadangannya itu akan dibawa dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini, seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini.

Katanya, keputusan untuk mengkaji semula skim gaji penjawat awam itu dibuat berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama dan kali terakhir disemak adalah pada 2013. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp