TERKINI

Presiden Singapura Lawat Malaysia Isnin Ini

foto kredit harian metro

SINGAPURA, 19 Mac 2023 – Presiden Singapura Halimah Yaacob akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia bermula Isnin (20 Mac) ini. Lawatan ini bakal menyuntik momentum positif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kunjungan atas undangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga bakal mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua negara diperingkat tertinggi.

Halimah berkata lawatan beliau itu rentetan kemajuan yang dicapai semasa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari yang menyaksikan kedua-dua pihak memeterai tiga perjanjian membabitkan kedua-dua kerajaan bagi menggalakkan kerjasama dalam ekonomi hijau dan digital serta keselamatan siber.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama menerusi e-mel dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, menjelang lawatan itu.

Dalam lawatan ini nanti, Presiden berkata selain menghadap Al-Sultan Abdullah, beliau juga akan bertemu dengan pemimpin Malaysia, yang akan menumpukan kepada agenda penting kedua-dua negara, meneroka bidang kerjasama baharu dan mengulangi semula hasrat Singapura bagi membangunkan perkongsian sama menang dengan Malaysia untuk jangka panjang. – sumber BERNAMA

Facebook
Twitter
WhatsApp