SHAH ALAM, 5 Dis 2023 – Timbalan Presiden Umno menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang diumumkan pada Sabtu, memberi isyarat jelas bahawa UMNO masih jauh untuk berjaya dalam mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu.
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun parti tersebut menonjolkan seorang pahlawan bangsa dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang namun mereka tetap tewas.
“Tugas mengembalikan kepercayaan ini adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil dan UMNO mesti menerima realiti orang Melayu masih jauh dari mempercayai parti ini sebagai wakil politik mereka yang berkesan.
“Keputusan ini juga menyedarkan UMNO mesti mempunyai ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik kerana keputusan PRK tersebut indikasi jelas bahawa ia perjalanan jauh, tidak linear dan memakan masa panjang.
“Semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan perlu kecekalan jika parti ini ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh serta kepercayaan bangsa Melayu dalam politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada PRK Kemaman, calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.
Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 yang diraih Raja Mohamed Affandi.
Tambah Mohamad, UMNO juga terus dijauhi generasi muda Melayu sehingga penolakan golongan tersebut terhadap parti berkenaan semakin konsisten.
“Sesuatu harus dilakukan segera kerana generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan meraih sokongan mereka tetapi kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi serta keperluan kehidupan. – Sinar Harian