KUALA LUMPUR, 27 Apr 24 – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang akan dianjurkan di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) Sabtu ini, boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).
Menurutnya, ini merujuk kepada lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka yang dianjurkan di kawasan dan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bakal diadakan.
“Berdasarkan risalah program tersebut yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya.
“Pemberian atau penjamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (Penjamuan) dan pemberian duit raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 (Penyogokan).
“Kerajaan Negeri Selangor juga perlu sedar disebabkan penganjuran rumah terbuka ini menggunakan sumber kerajaan negeri, maka mereka perlu memastikan bahawa majlis tersebut tidak digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan.
“… dan seterusnya berkempen dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen yang lain yang bertujuan untuk memenangkan calon mereka,” kata Bersih dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Bersih turut menegaskan, penggunaan sumber kerajaan bukan sementara seperti Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan semasa tempoh pilihan raya kecil seperti di PRK KKB ini perlu mematuhi prinsip 3C yang digariskan oleh BERSIH sebelum ini iaitu No Conditions (Tanpa Syarat), No Campaign (Tanpa Kempen) dan No Candidate (Tiada Calon).
Justeru itu, Bersih juga mengingatkan parti-parti politik atau mana-mana calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya itu dan bercadang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka peringkat parti atau kapasiti masing-masing supaya tidak berbuat demikian kerana aktiviti tesebut adalah bercanggah dengan AKPR.
“Bersih sekali lagi menegaskan kepada semua pihak yang akan bertanding dalam PRK KKB ini terutamanya pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan agar mematuhi etika kempen pilihan raya supaya pilihan raya di negara kita dapat berjalan dengan bersih dan adil,” kata Bersih lagi.
PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian dilangsungkan pada 11 Mei depan. – Awani