TERKINI

Ada ‘Abang Besar’ Di Sebalik Serangan Terhadap Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor – foto NST

ALOR STAR, 17 April 2023 – Kewujudan ‘abang besar’ dikatakan punca serangan berterusan dilakukan ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Perdagangan Dalam Negeri Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim, berkata serangan terhadap Muhammad Sanusi seolah-olah menggambarkan ‘abang besar’ itu gentar dengan pelbagai perancangan Kedah.

Katanya, hasrat Kedah membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) adalah contoh bagaimana projek bernilai RM7 bilion membabitkan pembangunan Kedah Aerotropolis cuba dihalang.

“Mungkin ‘abang besar’ takut dengan cadangan projek KXP serta permintaan Kedah supaya Pulau Pinang membayar caj air mentah yang diambil negeri itu melalui Sungai Muda.

“Mungkin ini adalah isu yang paling digeruni pihak lawan politik kita terutama di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Bina Darulaman Bhd (BDB) di Dewan Seri Mentaloon di sini, malam tadi.

Wan Romani berkata, serangan terhadap Muhammad Sanusi juga dipercayai berlaku disebabkan beliau tokoh yang popular dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN).

Katanya, di sebalik serangan yang tidak masuk akal terhadap Sanusi, pentadbiran negeri tidak akan hilang fokus dalam merealisasikan Pelan Induk Kedah 2035.

“Sebab itu mereka menyerang Menteri Besar Kedah dari segenap penjuru hanya untuk melukis naratif buruk mengenai beliau.

“Malah barisan menteri Persekutuan tertentu tidak menjemput barisan EXCO dan Muhammad Sanusi untuk program mereka di Kedah sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

Bulan lalu, Sanusi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dihalang hadir ke program kerajaan Persekutuan termasuk semua acara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) berikutan keputusan Kabinet.

Rabu lalu pula, media melaporkan Muhammad Sanusi menegaskan dakwaan mengenai usaha terancang menyingkirkan beliau daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara bukan drama atau cerita rekaan.

Sebaliknya, beliau mendakwa ada surat daripada Kementerian Kewangan yang dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah berhubung apa yang diperkatakannya itu.

Kerajaan Persekutuan bagaimanapun menafikan semua dakwaan dibuat Muhammad Sanusi berkenaan. – harian metro

Facebook
Twitter
WhatsApp