TERKINI

PRK Kuala Kubu Bharu : Persaingan masih terbuka – Mukhriz

Mukhriz Mahathir – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 16 Apr 24 – Presiden parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir menyifatkan peluang buat pembangkang dan kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu, masih terbuka.

Ketika ditanya, beliau berkata isu-isu utama berkenaan dengan kos sara hidup akan menjadi isu utama dalam kempen PRK tersebut, malah menjadi kertas ‘litmus’ untuk kerajaan Madani samada rakyat berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Saya ingat Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu ni akan jadi satu kertas litmus untuk kerajaan Madani yang ada pada hari ini dan juga sedikit sebanyak satu cabaran untuk Perikatan Nasional juga.

“Kita nak lihat adakah masyarakat bukan Melayu puas hati dengan kerajaan Madani dan adakah masyarakat Melayu itu boleh dipengaruhi oleh UMNO untuk menyokong kerajaan Madani, itu saya rasa, saya tak berapa yakinlah itu boleh berlaku jadi, keadaan dia masih terbuka. Ujarnya.

Dalam mengulas perkara tersebut, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah menyuarakan kebimbangannya apabila pihak pembangkang tidak menonjol untuk bangkitkan isu-isu dan permasalahan berkaitan kos sara hidup yang sangat memberi kesan.

“Saya juga setuju bahawa isu berkaitan dengan kos sara hidup, harga barang naik ni sangat-sangat membebankan dan tidak langsung diselesaikan oleh kerajaan Madani, tapi pada waktu yang sama saya lihat pihak pembangkang pun tidak menonjol untuk bangkitkan isu-isu ini di dalam parlimen.

“Kalau kita tengok isu semasa sekarang ni, berkenaan dengan CSA lah, jadi mungkin kerana itu kritikan terhadap kerajaan tu slow sikit, sehinggalah diselesaikan peruntukan untuk ahli-ahli parlimen pembangkang. Ujar beliau.

Beliau menambah orang Melayu mungkin boleh menyokong calon Pakatan Harapan kerana pengaruh daripada UMNO, tetapi persoalannya adakah ia mencukupi.

“Mungkin pengaruh daripada UMNO, apa yang sisa-sisa baki yang adalah, tapi adakah itu mencukupi untuk memberi kemenangan pada calon PH itu bukan satu kepastian.

“Jadi saya rasa tambah-tambah lagi kalaulah di peringkat PN tu sendiri juga meletakkan calon daripada parti Gerakan, maka pengundi Melayu khususnya tak banyak pilihan. Jelas beliau.

Pada 4 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp