TERKINI

PRK Kuala Terengganu Serentak PRN 12 Ogos

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani – foto Bernama

PUTRAJAYA, 18 Julai 2023 – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu (P036) akan diadakan pada 12 Ogos ini serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani, berkata PRK Kuala Terengganu membabitkan 123,575 pemilih.

Katanya, sebanyak RM465,000 diperlukan bagi pelaksanaan PRK terbabit.

Pada 27 Jun lalu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada 8 Julai lalu PAS memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp