KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2023 – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk seorang calon Bebas.
Di Simpang Jeram, kerusi itu bakal memperlihatkan saingan antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya yang juga pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.
Manakala calon Bebas ialah S. Jeganathan, 55 tahun yang memasuki kali ketiga mempertaruhkan nasib di kerusi DUN iaitu dua siri pilihan raya sebelum ini di DUN Bukit Naning dan kali ini di DUN Simpang Jeram.
Bagi Parlimen Pulai, menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung 9 September nanti.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat, manakala Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar.
Selain itu, calon Bebas pula adalah Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.
Allahyarham memenangi kerusi DUN Simpang Jeram sejak 2018 sebelum berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac tahun lalu. – Awani