Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, akan menyaksikan beberapa kerusi panas akan menjadi tumpuan bagi ke enam-enam negeri yang terlibat. Seramai 570 calon bertanding bagi merebut 245 kerusi DUN pada pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos, hari ini.
- 36 kerusi Dewan Negeri Kedah (jumlah calon 83 org)
- 43 kerusi Dewan Negeri Kelantan (jumlah calon 97 org)
- 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu (jumlah calon 66 org)
- 40 kerusi Dewan Undangan Pulau Pinang (jumlah calon 95 org)
- 56 kerusi Dewan Negeri Selangor (jumlah calon 147 org)
- 36 kerusi Dewan Negeri Negeri Sembilan (jumlah calon 83 org)
Sebanyak 180 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Manakala yang melibatkan tiga penjuru sebanyak 51 kerusi, empat penjuru sebanyak 13 kerusi dan 1 kerusi melibatkan pertandingan lima penjuru.
Bagi parti yang bertanding, PN bertanding sebanyak 168 kerusi, PAS 77 kerusi diikuti PH yang diwakili oleh PKR, Amanah dan DAP sebanyak 137 kerusi.
Manakala BN bertanding sebanyak 108 kerusi, Bebas 41 kerusi, MUDA 19 kerusi, PRM 13 kerusi, PUR 1 kerusi, PFP 2 kerusi dan PSM 4 kerusi.
Blok Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH/BN) akan diwakili oleh ;
- Parti Keadilan Rakyat (PKR)
- Barisan Nasional (BN)
- Parti Amanah Negara (Amanah)
- Democratic Action Party (DAP)
Gabungan PH-BN akan menggunakan 2 logo bagi kempen PRN 2023 iaitu Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional
Sementara blok Perikatan Nasional terdiri daripada ;
- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
- Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
- Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)
Bagi kempen PRN 2023 pula, Perikatan Nasional akan menggunakan 2 logo, iaitu logo PN dan PAS.
Kerusi Tumpuan Selangor
Antara kerusi yang menjadi tumpuan adalah N16 Sungai Tua yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Amiruddin Shari (PH) dengan Muhammad Hanif Jamaluddin (PN) dan dicabar G. Suman (Bebas).
Manakala N18 Hulu Kelang akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Setiausaha Politik MB Selangor, Juwairiya Zulkifli (PH) dengan bekas MB Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN).
Untuk N41 Batu Tiga, melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Danial Al Rashid (PH) dicabar oleh bekas menteri, Datuk Seri Rina Harun (PN) dan turut di cabar oleh Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen dari parti MUDA.
Di N20 Lembah Jaya menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara selebriti Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) dari PN, dicabar oleh Sharifah Haslizah Syed Ariffin (PN).
Kerusi Tumpuan Kedah
N08 Pedu akan menyaksikan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN) menentang Mohad Radzi Md Amin (PN).
Di Alor Mengkudu N14 pertembungan menarik antara bekas pemain bolasepak profesional Kedah, Radhi Mat Din dicabar oleh Datuk Mahfiz Omar (PH).
Rakan bolasepak Radhi, Baddrol Bakhtiar yang mewakili PN akan dicabar oleh Mohammed Firdaus Johari dari PH.
Dan kerusi N24 Jeneri, menteri besar kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dicabar oleh wakil BN iaitu Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.
Kerusi Tumpuan Pulau Pinang
N02 menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas menteri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN) menentang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dari PN.
Manakala Presiden parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang mewakili PN akan ditentang oleh Azrul Mahathir Aziz dari PH.
Kerusi Tumpuan Negeri Sembilan
N15 Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith yang mewakili PN akan dicabar oleh wakil BN Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.
Manakala di N13 Sikamat menyaksikan menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH) akan dicabar oleh wakil PN Ahmad Raihan Muhammad Hilal dan calon Bebas, Bujang Abu.
Bekas exco kerajaan PH Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek pula akan mencuba nasib di N14 Ampangan menentang calon PN, Muhammad Ghazali Zainal Abidin dan calon PH Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
N27, menteri pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan pula akan ditentang oleh calon PN, Rozmal Malakan.
Kerusi Tumpuan Terengganu
Tumpuan akan terarah ke dua buah kerusi yang mana kerusi-kerusi ini ditandingi oleh menteri dan bekas menteri besar.
N19 Ru Rendang, MB Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada (PN) akan dicabar oleh Suhaimi Sulaiman daripada PH.
Manakala N30 Kijal, bekas MB Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) akan dicabar oleh orang kuat parti Bersatu, Datuk Razali Idris (PN).
Kerusi Tumpuan Kelantan
Negeri yang didominasi oleh PAS ini akan menyaksikan dua tokoh iaitu Menteri Besar Ahmad Yakob (PN) dicabar oleh Mohamad Zamakh Sari Ibrahim (PH) di N03 Pasir Pekan, manakala timbalan menteri besar, Muhammad Amar Abdullah (PN) dicabar oleh wakil PH, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain di N07 Panchor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 Julai lalu sebagai hari penamaan calon, manakala tarikh mengundi awal pada 8 Ogos dan hari pengundian ialah hari ini 12 Ogos 2023. – malayadaily.com