TERKINI

Projek Tambak Laut Pulai Pinang Dapat Kelulusan EIA

Projek PSI – foto FMT

GEORGETOWN, 27 April 2023 – Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di Pulau Pinang, telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kelulusan EIA itu diperolehi dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

“Kami menerima surat bertarikh 11 April daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun, masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.

“Justeru, kerja penambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Projek kontroversi itu membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

Projek itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan memberi kesan merosakkan ekosistem marin di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kelulusan diberikan untuk pembinaan tiga pulau, yang ketika ini dinamakan sebagai A (berkeluasan 930 hektar), B (445 hektar) dan C ( 323 hektar).

Beliau berkata, pembinaan akan dimulakan di pulau A di tapak seluas 283 hektar, yang dijangka mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp