TERKINI

Proklamasi Orang Melayu : PN, MN, NGO Setuju Wujud Kerjasama

Foto – Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2023 – Pemimpin parti-parti politik yang menyokong dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu telah bersetuju untuk bekerjasama termasuk kerjasama dalam pilihanraya.

Keputusan tersebut diumumkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media, selepas mesyuarat meja bulat dengan pemimpin politik, wakil parti dan NGO yang menyokong pergerakan itu, semalam.

“Itulah tujuan kita hari ni dan kita semua setuju perlunya kita bergerak bersama. Kalau PRU pun kita gerak bersama la. Ujarnya.

Menurut Mahathir, mereka telah bersetuju dan memutuskan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada pilihan raya, dan sedang memikirkan untuk bekerjasama.

Dalam sidang media itu, beliau berkata bahawa keputusan untuk bertanding dalam pilihanraya negeri akan dibincangkan.

“Ada kemungkinan kita akan bertanding dalam PRN, kalau kita dapat itu kehendak semua dari kita,” katanya.

Ketika ditanya jika beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang, Mahathir secara sinis menjawab “tidak”, kerana menganggap dirinya sudah “nyanyuk”.

“Tak adalah. Saya dah tua. Tengok saya nyanyuk.

“Saya tak faham orang di luar negeri jemput saya bercakap tentang keadaan dunia akan datang, Jepun, Korea (Selatan) panggil saya.

“Balik sini orang tanya bila saya nak bersara,” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, turut hadir adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris; Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa; Presiden Pejuang, Dato Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Putra, Dato Dr Ibrahim Ali; ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, dan bekas ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar serta bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Sebanyak enam buah negeri akan mengadakan pilihanraya tahun ini, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelatan dan Terengganu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp