TERKINI

Putra Gesa Kerajaan Teruskan Insentif Bayaran Balik PTPTN

Nurhafizah Jamalludin – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 7 Okt 2023 – Insentif bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus diteruskan kerana ia dijangka dapat menarik minat golongan muda menyambung pelajaran, kata Putra.

Ketua Wanita Putra Nurhafizah Jamalludin berkata, tindakan itu tidak bertanggungjawab disebalik janji pendidikan percuma yang dilaungkan ketika parti kerajaan berada di pihak pembangkang sebelum ini.

“Wirawati Putra berpendapat dan mencadangkan kerajaan perlu wujudkan insentif yang membuatkan mahasiswa atau peminjam PTPTN akan terus membayar hutang mereka, dan bukan terus membuat keputusan yang akan membawa impak buruk serta langsung tidak memberi harapan untuk golongan muda menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Rakyat sedar kerajaan tak mahu beri pendidikan percuma walaupun itulah kempen politik semasa menjadi pembangkang dahulu hingga sanggup tidur di jalanan dan buat provokasi terlampau.

“Tetapi takkanlah sampai beri diskaun kepada peminjam yang sudi membayar balik pinjaman pun tak boleh dipertimbang dan diteruskan?,” katanya, dalam satu kenyataan.

Katanya, diskaun yang diberi adalah antara insentif yang mewujudkan rasa tanggungjawab kepada peminjam untuk membayar balik hutang mereka.

“Kesedaran dan membina rasa tanggungjawab bersama seumpama ini sepatutnya menjadi agenda negara supaya selain kerajaan membantu golongan mahasiswa dalam memudahkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Kerajaan dapat memperoleh semula wang dipinjam walaupun kurang daripada yang sepatutnya,” katanya.

Wirawati Putra katanya berpandangan, sudah tiba masanya pendidikan percuma di peringkat universiti seluruh Malaysia dibincang secara lanjut dan serius.

“Dan tanggungjawab ini juga adalah tanggungjawab bersama kerajaan dengan memberi biasiswa kepada orang Melayu dan Pribumi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Jika ia perjuangan yang ikhlas, mereka sepatutnya menambah baik sistem ke arah melaksanakan pendidikan percuma dengan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia Perkara 12 dan 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp