TERKINI

PUTRA Sokong Cadangan Kenakan Hukuman Lebih Berat Kepada Kartel Beras

Asmawar Samat – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 6 Okt 2023 – Parti PUTRA menyokong cadangan Dr Muhamad Akmal Saleh, EXCO Kemajuan Desa, Pertanian, dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka agar kerajaan mengenakan hukuman yang lebih tegas termasuk penjara dan sebatan terhadap kartel beras.

Dato’ Asmawar Samat yang juga Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam Parti PUTRA berkata, hukuman sedia ada pada hari ini berbentuk kompaun dan denda, yang mana ia mampu dilunaskan oleh kumpulan tersebut.

“Dalam hal ini, PUTRA menyokong cadangan Dr Muhamad Akmal Saleh, EXCO Kemajuan Desa, Pertanian, dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka yang mecadangkan supaya kerajaan mengenakan hukuman lebih tegas termasuk penjara dan sebatan terhadap kartel beras yang terbukti merampas subsidi rakyat di negara ini.

“Hukuman sedia ada berbentuk kompaun dan denda meskipun mencecah RM100,000 mampu dilunaskan oleh pihak kartel-kartel.

Beliau juga mengesyorkan hukuman yang lebih keras iaitu penjara dan sebatan dikenakan kepada kartel beras.

“PUTRA mengesyorkan agar pihak kartel-kartel yang didapati melakukan kesalahan tersebut dikenakan hukuman yang lebih keras dan berat seperti penjara 5 tahun dan sebatan 5 rotan secara mandatori.

“Segerakan pindaan undang-undang dan hentikan retorik.

“Jangan takut kepada gengster berbagai kartel. Kenapa kartel-kartel ini lebih berani di bawah kerajaan PH+BN? Kenapa DAP tidak bersuara?, ujar beliau.

Asmawar berpandangan bahawa isu bekalan beras tidak akan dapat diselesaikan jika kartel yang menguasai dan memanipulasi perniagaan tidak ditumpaskan. Hakikatnya, sekian lama pihak kartel telah menguasai bekalan beras melalui pengilang, pembungkus, pemborong dan peniaga.

Menurutnya lagi, penguasaan kartel beras ini menyebabkan mereka semakin berani hingga menjadikan bekalan beras tempatan hilang.

“Kenyataan rasmi YAB Menteri Besar Terengganu di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15 yang mendedahkan bahawa 70% Beras Tempatan telah dicampur dengan 30% Beras Import menjadikannya Beras Super Import.

“Jelas kemunculan Beras Super Import adalah bertujuan mencari keuntungan besar dan berlebihan. Sebab itu, di Pasaraya dan Kedai Runcit tiada lagi Beras Tempatan.

“Perbezaan harga Beras Import dengan Beras Tempatan adalah amat ketara. Contohnya, untuk 5 kilo Beras Super Import Sunwhite harganya RM26.99, manakala Beras Tempatan Cap Rambutan Hijau harganya RM12.79.

Berikutan itu, Asmawar berkata bahawa golongan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40 dan peniaga kecil makanan menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan beras yang biasa mereka bayar dengan harga rendah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp