21 Jan – Parti PUTRA menegaskan bahawa perpaduan ummah mestilah berteraskan tali Allah, menolak segala bentuk politik kontrak, jawatan atau projek yang semata-mata untuk menyelamatkan parti yang sedang nazak.
Presiden PUTRA, Dato’ Ibrahim Ali, menegaskan sokongan parti itu selari dengan pandangan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa politik yang tidak berpandukan Tuhan akhirnya menjadi “politik dagang”, yang hari ini cium tangan, esok gigit lengan.
Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim berkata penyatuan ummah tidak boleh diketuai oleh parti atau individu yang rekodnya sarat dengan parut rasuah dan tiada integriti.
“UMNO hari ini bukan lagi rumah besar Melayu, tetapi rumah lama yang atapnya bocor, dindingnya reput dan dipenuhi anai-anai politik wang,” katanya.
Beliau turut menekankan realiti pilihan raya menunjukkan hampir 70 peratus pengundi Melayu menyokong Perikatan Nasional pada PRU-15, dengan PAS memiliki 43 kerusi dan Bersatu 32 kerusi. Menurut beliau, suara ini adalah suara kampung, suara masjid dan suara warung kopi, bukannya suara broker projek.
PUTRA juga menolak sebarang usaha menghidupkan semula jenama lama seperti Muafakat Nasional atau Rumah Bangsa yang menurutnya hanya menjadi “talian hayat kepada klik mahkamah dan geng perasuah”. Sebaliknya, payung besar penyatuan yang sebenar adalah Perikatan Nasional.
“Perpaduan sebenar mesti bertiang tiga – iman, maruah dan amanah. Tanpa tiga ini, perpaduan hanyalah topeng. Apabila bau kuasa datang, semua janji akan menjadi habuk,” katanya.
Ibrahim turut menyeru semua pemimpin Melayu Islam membuang ego dan perangai ‘tuan besar’, serta menerima hakikat bahawa masa depan ummah hari ini berada di bawah payung Perikatan Nasional yang dipimpin oleh jiwa bersih, semangat patriotisme dan idealogi Islam.
Penyatuan yang diidamkan menurut beliau adalah penyatuan yang mempertahankan Islam, memelihara Perlembagaan, membela marhaen, menegakkan keadilan ekonomi dan memulihkan maruah tanah air.
“PUTRA berdiri tegak bersama konsep perpaduan berteraskan tali Allah, bukan tali projek dan bukan tali jawatan. Jalan paling jujur pada hari ini ialah memperkukuh Perikatan Nasional sebagai wadah tunggal penyatuan ummah,” tegasnya. – malayadaily