TERKINI

QIAM Junjung Titah Agong: Bahasa Melayu Mesti Diutamakan, Isu UEC Tidak Relevan

25 Jan — Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) menjunjung sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan bahawa Bahasa Melayu mesti diutamakan di Malaysia, khususnya dalam sistem pendidikan negara.

Menurut Presidennya, Dato’ Sirajuddin Haji Salleh, titah Seri Paduka Baginda pada 19 Januari lalu itu selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, selain bertepatan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Dengan penegasan ini, sebarang polemik berkaitan pengiktirafan sistem pendidikan yang tidak berteraskan Bahasa Melayu, termasuk isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tidak lagi timbul,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, QIAM menggesa Perdana Menteri serta kerajaan Persekutuan, khususnya Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi, supaya mengambil tindakan segera bagi melaksanakan titah berkenaan secara menyeluruh.

Langkah tersebut, menurut beliau, penting bagi memastikan Bahasa Melayu benar-benar ditegakkan sebagai bahasa negara dan tidak sekadar kekal sebagai peruntukan di atas kertas.

Dalam masa sama, QIAM berpandangan titah Yang di-Pertuan Agong itu turut menjadi asas penting kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional, yang kini berdepan pelbagai cabaran dalam masyarakat majmuk.

“Sebarang penolakan terhadap penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem persekolahan jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan serta boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

QIAM turut menyokong ketegasan Seri Paduka Baginda bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai asas kenegaraan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa kompromi.

“Setelah hampir tujuh dekad merdeka, isu sebegini tidak sepatutnya terus dipersoalkan. Setiap warganegara wajib mematuhi dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.

Tambah beliau, pelaksanaan segera dan tegas oleh jentera kerajaan, khususnya di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, adalah kunci kepada pembentukan keharmonian serta perpaduan sejati di Malaysia.

“Jangan ada mana-mana pihak yang ingkar atau memandang ringan titah Seri Paduka Baginda,” katanya. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp