
KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Rais Yatim mendakwa terdapat tanda-tanda kebangkitan semula pengaruh komunis di Malaysia, termasuk melalui simbol dan kegiatan tertentu yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa.
Dalam kenyataan beliau, Rais merujuk kepada penemuan ukiran batu di sebuah tanah perkuburan Cina di Semenyih, Selangor, yang memaparkan wajah pemimpin komunis China, Mao Tse Tung, lengkap dengan sajak perjuangan yang diukir dalam tulisan Cina.
“Bagaimana batu yang diimport dari China ini boleh lepas masuk? Soalnya PDRM buat apa? Jangan tak tahu kedahsyatan komunis yang menjadikan rakyat sebagai tentera transformasi ke arah sistem tanpa raja dan anti-Islam,” katanya.
Beliau berkata, meskipun polis telah mengambil tindakan selepas maklumat itu didedahkan oleh masyarakat Tionghua tempatan sendiri, isu tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tahap kawalan keselamatan.
Menurutnya, beliau sebelum ini turut disoal siasat apabila mengkritik ancaman komunis, sedangkan ada pihak lain masih berdiam diri. “Persatuan One Cina masih bersiul-siul,” sindirnya.
Rais turut menggesa Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi agar lebih berwaspada, khususnya terhadap sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina tertentu serta Universiti Xiamen Malaysia di Sepang.
Katanya, projek universiti tersebut yang diluluskan pada tahun 2012 semasa pentadbiran terdahulu perlu diberi perhatian kerana menurutnya tidak ada negara yang benar-benar terlepas daripada pengaruh komunisme China.
Beliau juga mengingatkan institusi diraja agar lebih tegas dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. “Para Tuanku… jangan hanya titah berkumandang, kuasa negara lucut di tangan,” tegasnya. – malayadaily